
Kumpulan itu berkata, Muhyiddin gagal menerajui kerajaan dan menstabilkan keadaan politik sehingga menyebabkan negara bergelut untuk keluar daripada kesan pandemik.
Qyira Yusri, pengasas bersama Undi18, yang juga sebahagian daripada penganjur himpunan SSR, berkata ini khasnya ketika jangkitan harian Covid-19 mencecah lebih 20,000 kes tiga hari lalu dan jumlah angka korban melebihi 10,000 kes.
“Masa untuk bantahan dalam talian sudah berakhir kerana suara rakyat tidak didengari.
“Sekretariat kami berjaya menggerakkan 2,000 orang turun sebelum ini dan kami menyasarkan lebih ramai lagi, jika Muhyiddin enggan bertanggungjawab terhadap keputusan gagalnya setakat ini,” katanya dalam sidang media.
Mohammad Asraf Sharafi, jurucakap SSR menggesa semua rakyat Malaysia, khasnya belia bersedia ke jalanan sekali lagi.
Asraf berkata, kerajaan sememangnya sudah gagal dan pentadbiran perlu tahu bila patut berhenti serta memberi ruang kepada pasukan lebih berkemampuan untuk mentadbir negara.
Berhubung bantahan #Lawan pada 31 Julai lalu, seorang lagi aktivis SSR, Muhammad Alshatri berkata, 21 orang dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan mereka memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Bagaimanapun, 15 daripada 21 orang yang memberikan keterangan mereka dikunjungi polis di rumah mereka. Malah, ada yang melawat rumah keluarga mereka. Kami percaya ini tidak perlu kerana semua orang sudah memberikan kerjasama penuh mereka.”
Katanya, polis turut mengeluarkan gambar 40 orang yang menyertai bantahan itu yang disifatkannya sebagai intimidasi.
“Polis perlu menghentikan bentuk intimidasi begini kerana kebebasan berhimpunan dan berpersatuan ialah hak asas kita.”
Sabtu lalu, ratusan individu yang terdiri daripada pelajar dan aktivis belia, berhimpun di ibu negara menggesa Muhyiddin dan Kabinetnya berundur.
Mereka berkumpul di luar Masjid Jamek dan membawa sepanduk serta plakad “Kerajaan Gagal”. Mereka bersurai selepas dihalang polis daripada memasuki Dataran Merdeka.