
Berita mengenai penangkapan Zamri dimuat naik di akaun Facebook miliknya. “Maklumat buat semua saudara Zamri Vinoth telah ditahan oleh pihak berkuasa dan telah dibawa ke IPD Dang Wangi,” kata kenyataan itu.
FMT turut mendapati peserta lain dalam perhimpunan itu turut ditahan, walaupun butirannya masih terhad.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, yang mengesahkan penangkapan Zamri tidak memberikan butiran lanjut dan menyeru pihak media menunggu sidang akhbar, pada esok.
Peguam Haniff Khatri Abdulla dan Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim turut ditangkap, lapor Malaysiakini, manakala individu lain yang dipercayai ditahan termasuk Hishamuddin bin Abu Bakar daripada NGO Ummah, Iskandar Khoo Kuan Yiaw daripada Bersatu, Gulab Jan (PPIM), dan Tamim Dahari Abd Razak.
Sementara itu, seorang Ahli Parlimen menyeru ‘Zamri dan semua terlibat’ berhadapan tindakan undang-undang tegas.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa polis tidak membebaskan Zamri dengan jaminan, sebaliknya mengekalkannya dalam reman dan didakwa di mahkamah. “Tunjukkan kepada Zamri Vinoth bahawa beliau tidak berada di atas undang-undang dan tidak lebih besar daripada perdana menteri,” kata Rayer dalam kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, beberapa individu dipercayai peserta Himpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (Garah) ditahan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo, malam ini.
Difahamkan, individu terbabit pada awalnya dilihat cuba melakukan provokasi ketika dihampiri anggota polis yang sedang menjalankan pemantauan, sebelum diberi nasihat pihak berkuasa.
Namun, situasi menjadi tegang apabila individu berkenaan enggan mematuhi arahan menyebabkan polis mengambil tindakan menahan mereka.
Individu ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, polis memaklumkan tidak membenarkan penganjuran Garah atas faktor keselamatan awam.
Fadil berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan satu himpunan aman dirancang di ibu negara bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram didakwa semakin berleluasa di seluruh negara.