
Lebih 150 peserta mengenakan pakaian serba hitam berkumpul di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, dikawal ketat oleh polis.
Laungan ‘Turun, turun Azam Baki’ dan ‘Bangkit, bangkit anak muda’ bergema dalam kalangan peserta yang turut memegang plakad antaranya tertera ‘Lawan dua darjat’ dan ‘Kantoi dengan Bloomberg’
Antara yang turut dilihat hadir termasuk Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz; ahli perniagaan kontroversi Albert Tei; serta aktivis Hishamuddin Rais.
Dalam ucapannya, Amira mengingatkan peserta himpunan bahawa undang-undang negara ini sering dipermainkan dan dimanipulasi.
“Anak muda Malaysia tidak akan berdiam diri sampai Azam Baki ditangkap,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mesti disiasat oleh badan bebas, bukan sekadar oleh pegawai kerajaan.
“Azam wajar berhenti atau bercuti sepanjang siasatan dijalankan,” katanya, mengulangi gesaan kumpulan pesara penjawat awam G25 dan beberapa Ahli Parlimen lain.
Penganjur himpunan, Sekretariat #TangkapAzamBaki mendakwa, pemilikan saham oleh ketua SPRM itu telah menjejaskan keyakinan awam terhadap badan pencegah rasuah tersebut.
Bloomberg News sebelum ini melaporkan bahawa Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Feb tahun lepas.
Turut dilaporkan, nama beliau masih tertera dalam daftar pemegang saham syarikat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.
Ketua pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan, beliau sudah mengisytiharkan urus niaga tersebut dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lepas. Peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan tersebut.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kini sudah memulakan siasatan fitnah jenayah berkait laporan Bloomberg tersebut dan satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham Azam.