Himpunan bantah kuil ‘haram’ diteruskan, kata penceramah bebas

Himpunan bantah kuil ‘haram’ diteruskan, kata penceramah bebas

Zamri Vinoth memberitahu pengikutnya agar tidak terperdaya dengan propaganda.

Zamri Vinoth
Gabungan NGO diketuai penceramah bebas Zamri Vinoth merancang perhimpunan di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur, malam esok.
PETALING JAYA:
Penceramah bebas kontroversi, Zamri Vinoth, berkata perhimpunan membantah kuil ‘haram’ akan tetap diteruskan walaupun terdapat gesaan awal daripada kerajaan supaya dibatalkan.

“Jangan terperdaya dengan propaganda dan taktik mereka! Kita lawan jenayah ceroboh!

“Esok ‘on’ jam 8pm di pekarangan Sogo KL,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook miliknya.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri menyatakan polis akan bertemu penganjur untuk meminta mereka membatalkan perhimpunan itu, memandangkan Perdana Menteri India Narendra Modi mengadakan lawatan dua hari bermula esok.

KDN juga menggesa orang ramai termasuk pihak merancang bantahan berkaitan rumah ibadat haram, tidak meneruskan perhimpunan sepanjang lawatan rasmi perdana menteri India ke negara ini.

Katanya, lawatan itu yang akan bermula esok hingga 8 Feb adalah simbolik kepada hubungan diplomatik yang kukuh serta semangat saling menghormati antara kedua-dua negara.

Sebelum ini, sekumpulan ahli PKR menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menghentikan perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram anjuran sebuah NGO.

Wakil kumpulan itu, Thiban Subbramaniam mendakwa walaupun himpunan digambarkan sebagai aman, terdapat unsur provokasi dan kenyataan media yang disasarkan kepada satu agama khususnya Hindu.

Penganjuran perhimpunan dirancang di pekarangan Kompleks Sogo mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) iaitu rakan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Rabu lalu, FMT melaporkan Ketua Penerangan MIPP, Justin, Prabakaran berkata pihaknya menghantar surat rasmi kepada pucuk pimpinan PAS dan Bersatu supaya tidak menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram dianjurkan gabungan NGO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.