
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata lima penuntut warga asing yang belajar di kolej swasta di sekitar ibu kota dan seorang penganggur warga tempatan, semuanya berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira 6.30 petang Khamis lepas, dua suspek ditahan di lobi sebuah pangsapuri di Sungai Way, yang membawa kepada penahanan dua lagi suspek di sebuah rumah di pangsapuri sama.
“Dua suspek lagi ditahan pada Jumaat lepas di tepi jalan Persiaran Golf, Shah Alam kira-kira 6.15 petang susulan penahanan pertama,” katanya menurut laporan Bernama.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 11.5kg ganja bernilai RM34,731.
“Pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain tiga kereta yang digunakan untuk kegiatan ini sebagai bahan bukti,” katanya.
Fakhruddin berkata, sindiket itu menyasarkan penuntut kolej warga asing di sekitar Sungai Way dan Damansara sebagai pelanggan dan semua bayaran dibuat secara tunai atau transaksi secara bersemuka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Katanya, dadah itu dijual dalam peket kecil bernilai RM100 untuk 3g kepada pelanggan tempatan atau rakan kolej warga asing.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak empat bulan hingga setahun lalu dan bekalan ganja diperoleh daripada seorang individu warga asing lain sebelum diproses dan dibungkus.
“Semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.