
Fahmi dijangka hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 12 tengah hari esok.
Dalam hantaran di Twitter, Fahmi berkata dia baru sahaja dimaklumkan bahawa polis membuka satu lagi kertas siasatan terhadapnya.
“Aku dipanggil ke balai untuk disoal siasat esok. Ini kali ke-7 aku disiasat polis di bawah #AktaSakitHati (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana grafik satira aku tahun ini,” katanya.
“Jumpa esok @PDRMsia.”
Bulan lalu, Fahmi dipanggil polis untuk memberi keterangan terhadap sebuah poster yang dimuat naik di Facebook dan Twitter membabitkan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
Pada April, dia disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung dua hasil grafiknya.
Sebelum itu, Fahmi ditahan mengikut Akta Hasutan selepas membuat senarai lagu yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong berhubung komen baginda di akaun Instagram.
Dia dibebaskan selepas sehari direman.