Hanya Parlimen boleh batal pengisytiharan, Ordinan Darurat, kata peguam

Hanya Parlimen boleh batal pengisytiharan, Ordinan Darurat, kata peguam

Pembatalan pengisytiharan darurat dan ordinan lain jelas bertentangan dengan semangat dan niat Perlembagaan, kata peguam.

Keputusan untuk melanjutkan atau membatalkan darurat hanya boleh dibuat oleh Parlimen seperti diperuntukkan mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya Parlimen, bukannya Kabinet boleh memutuskan untuk membatalkan pengisytiharan darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong serta ordinan berkaitan, kata seorang peguam.

Bastian Pius Vendargon berkata, badan eksekutif pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai akauntabiliti dan tanggungjawab kepada Parlimen seperti diperuntukkan mengikut Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pembatalan pengisytiharan darurat dan ordinan lain jelas bertentangan dengan semangat dan niat Perlembagaan serta peranan badan legislatif,” katanya kepada FMT.

Vendargon turut mempertikaikan sama ada badan eksekutif telah mengabaikan Jawatankuasa Darurat dalam menasihatkan Agong.

“Jadi Kabinet melanggar keputusan terdahulu untuk mewujudkan jawatankuasa di bawah kepemimpinan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria dalam memutuskan sebarang tindakan pembatalan,” katanya.

Vendargon mengulas pengumuman mengejut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini bahawa pengisytiharan darurat dan ordinan berkaitan telah dibatalkan kerana kerajaan memutuskan untuk membatalkannya mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Takiyuddin berkata, kerajaan turut tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh darurat yang berakhir pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) berkata, mengikut Perkara 153, keputusan sama ada melanjutkan atau membatalkan darurat hanya boleh dibuat oleh Parlimen.

“Perkara ini jelas,” katanya kepada Speaker Azhar Harun, yang kemudian membalas bahawa itu tidak benar.

Vendargon turut mempertikaikan kenapa rakyat tidak dimaklumkan bahawa pengisytiharan darurat dan ordinan berkaitan telah dibatalkan, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenainya hari ini.

Katanya, semua dokumen mesti dibentangkan di Parlimen untuk didebat seterusnya undian dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.