Saksi beritahu Zara mengaku ambil barang pelajar lain

Saksi beritahu Zara mengaku ambil barang pelajar lain

Saksi beritahu mahkamah Zara Qairina Mahathir pernah berkata 'diorang tidak mahu pakai jadi aku ambillah'.

zara qairina
Seorang saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah bahawa pelajar Tingkatan 1 itu sering menjadi mangsa ‘body shaming’, diejek dan dipulaukan rakan-rakan di sekolah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang saksi kanak-kanak beritahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa Zara Qairina Mahathir pernah memberitahunya dia mengambil barang-barang di asrama tanpa pengetahuan pemiliknya.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-24, peguam Joan Goh yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa terbabit dalam kes buli Zara Qairina berkata jika berlaku kehilangan barang di asrama, kebanyakannya dilakukan oleh Zara.

“Sepanjang bersekolah dan tinggal di asrama, setiap kali kehilangan barang contohnya botol air, anak tudung, pin tudung, stokin yang hilang di surau asrama atau di dalam asrama kebanyakannya dilakukan Zara.

“Ia kerana setiap kali dia (Zara Qairina) mengambil barang-barang itu dia akan memberitahu saksi.

“Saksi menyatakan pernah bertanya kepada Zara kenapa ambil barang orang, tetapi jawapan Zara ‘diorang tidak mahu pakai jadi aku ambillah’,” katanya kepada Berita Harian selepas prosiding.

Joan berkata, saksi selalu menasihatkan Zara supaya memulangkan barang yang diambil tetapi dia tidak berbuat demikian sehinggalah kawan-kawan sibuk mencari dan terjumpa barang-barang itu di dalam almarinya.

“Saksi menyatakan tidak pernah memberitahu kepada siapapun perbuatan Zara kerana saksi tidak tahu siapa tuan punya barang-barang itu,” katanya.

Menurut Joan, saksi itu yang sama-sama belajar dengan Zara di Tingkatan Satu turut memberitahu mahkamah bahawa Zara sering menjadi mangsa ‘body shaming’, diejek dan dipulau beberapa kawan di sekolah serta asrama.

“Saksi juga pernah dengar hampir setiap hari Zara diejek pelajar Tingkatan Satu, tapi saksi tidak tahu namanya dengan berkata ‘gemuklah ko nih’ dan Zara hanya berkata ‘bah iya lah’ sambil ketawa.

“Saksi juga pernah nampak pelajar lelaki satu kelas dengan Zara yang mengejek dengan menjerit-jerit memanggil Zara dengan panggilan ‘anak Mahathir, anak Mahathir’ dan ia berlaku setiap hari,” katanya.

Bagaimanapun, kata saksi, Zara tidak pernah marah tetapi saksi pernah nampak Zara menulis dan meluahkan apa yang dirasanya dalam buku diarinya.

“Tetapi Zara kata kepada saksi yang dia tidak kisah dan tidak peduli mengenai semua ejekan kawan-kawannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.