PKPD di kuarters, tapak binaan Hospital Pendang mulai Isnin

PKPD di kuarters, tapak binaan Hospital Pendang mulai Isnin

Beberapa lokaliti lain di Perak, Pahang dan Sabah turut dikenakan PKPD selama dua minggu mulai Isnin ini.

PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di asrama pekerja dan tapak binaan Hospital Pendang di Kedah mulai Isnin ini hingga 8 Ogos nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa lokaliti lain di Perak, Pahang dan Sabah turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama.

Perak – Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sg Raia).

Pahang – Blok 5 Felda Keratong 7 di Muadzam Shah, Rompin.

Sabah – Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias; Perumahan Ladang Kim Loong di Beluran; Kampung Tungkang di Kudat dan Kampung Telisai di Tungku, Lahad Datu.

Ismail berkata, PKPD di tujuh lokaliti di Sabah akan ditamatkan mengikut jadual esok.

Ia membabitkan Ql Farm Membalua di Tawau; Kampung Pikat di Bongawan, Papar; Penjara Kepayan di Kota Kinabalu; Kampung Jawi-jawi di Kota Belud serta Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 337 individu ditahan kerana mengingkari SOP semalam, dengan 332 daripadanya dikompaun dan lima lagi direman.

Katanya, enam pendatang asing tanpa izin ditahan dan tujuh kenderaan dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.