Dasar baharu tempoh duduki kuarters kerajaan diteliti

Dasar baharu tempoh duduki kuarters kerajaan diteliti

Menteri pendidikan berkata dasar sedia ada memberi perhatian khusus kepada penjawat awam berdepan musibah atau orang kurang upaya menerima tawaran menduduki kuarters lebih awal.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni berkeperluan tertentu, seperti faktor kesihatan, diberi kelonggaran terus menduduki kuarters tanpa had masa tertentu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cadangan menetapkan dasar baharu berkaitan tempoh penjawat awam menduduki kuarters kerajaan sedang diteliti Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Berdasarkan perbincangan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dengan BPH, beliau berkata, sekiranya dasar pemisah (exit policy) bagi kuarters ingin dirangka, ia tidak seharusnya dilaksanakan begitu mudah, seperti hanya menetapkan tempoh maksimum 10 tahun untuk penghuni.

“Sebaliknya, perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni yang mempunyai keperluan tertentu, seperti faktor kesihatan atau perancangan bersara dan kembali ke kampung halaman.

“Golongan ini wajar diberi kelonggaran terus mempunyai kuarters tanpa had masa tertentu,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau yang mewakili menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) sama ada kerajaan akan memperkenalkan “exit policy” kepada penghuni kuarters untuk menggalakkan penghuni, terutama yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.

Ketika ini, Fadhlina berkata, dasar keutamaan sedia ada memberi perhatian khusus kepada penjawat awam menghadapi musibah atau tergolong orang kurang upaya untuk menerima tawaran menduduki kuarters lebih awal.

Bagi penjawat awam muda baru dilantik, beliau berkata, mereka perlu menunggu giliran melalui saluran biasa seperti ditetapkan.

Berhubung Perumahan Penjawat Awam (PPAM), katanya, seramai 36,479 penjawat awam menandatangani perjanjian jual beli dengan 87% pembeli iaitu 31,942 orang berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.

“Data ini menunjukkan kumpulan penjawat awam disasarkan telah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM,” katanya sambil menambah permohonan PPAM ketika ini dikhususkan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan lebih RM466 juta dalam Belanjawan 2025 bagi meneruskan program PPAM di seluruh negara melalui kerjasama awam-swasta.

Daripada 1.3 juta penjawat awam masih berkhidmat, katanya, 52.95% belum memiliki rumah dan majoritinya dalam kalangan kumpulan pelaksana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.