Laksana gaji minimum ikut lokaliti, cadang senator

Laksana gaji minimum ikut lokaliti, cadang senator

Zurainah Musa minta kerajaan teliti pelaksanaan gaji minimum mengikut daerah atau negeri.

Senator Zurainah Musa berkata, penetapan gaji minimum mengikut lokaliti telah berjaya dilaksanakan di Indonesia sebelum ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang senator mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum mengikut lokaliti berbanding konsep ‘blanket approach’ di seluruh negara seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025.

Senator Zurainah Musa berkata, penetapan gaji minimum mengikut lokaliti telah berjaya dilaksanakan di Indonesia sebelum ini.

“Cuba laksanakan gaji minimum mengikut daerah dan negeri, kerana setiap lokaliti itu mempunyai kos sara hidup berbeza. Jadi, kita cuba selaraskan kerana gaji minimum di Kuala Lumpur (RM1,700) mungkin tidak cukup, tetapi di pedalaman mungkin mencukupi.

“Mohon kerajaan teliti perkara ini kerana dalam hal penyasaran subsidi, kita mengambil kira kos sara hidup dan tanggungan keluarga. Mengapa penentuan gaji minimum tidak boleh?” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Negara.

Mengulas perkara sama, Senator A Kesavadas mencadangkan kerajaan mencontohi kaedah yang dilaksanakan di New Jersey, Amerika Syarikat, dengan menetapkan kadar gaji minimum dinaikkan berperingkat setiap tahun sejak 2011.

Katanya, Malaysia boleh cuba bermula tahun depan dengan menaikkan gaji minimum kepada RM1,600 dahulu, seterusnya dinaikkan lagi 6.6% setiap tahun selama lima tahun.

“Jadi, pada 2026, ia akan naik kepada RM1,696, diikuti RM1,797 pada 2027, RM1,904 pada 2028, sehingga akhirnya mencecah RM2,018 pada tahun kelima.

“Kaedah ini membolehkan majikan lebih mampu,” katanya sambil menjelaskan cadangan kenaikan 6.6% itu adalah atas perkiraan dua kali ganda kadar inflasi ketika ini.

Selain pelaksanaan gaji minimum, Kesavadas turut mencadangkan agar kerajaan memberi pengecualian kepada perniagaan mikro dengan pendapatan bawah RM500,000 setahun.

Turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan ialah cadangan agar kerajaan mewujudkan satu mata pelajaran khusus mengenai digital pada peringkat awal persekolahan.

Senator Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, langkah ini perlu bagi mempersiapkan generasi muda dengan cabaran digital pada masa depan melalui kurikulum yang bersesuaian.

Cadangan beliau kemudian disokong oleh Zurainah yang berkata, usaha itu tidak sukar dilaksanakan memandangkan anak-anak muda kini celik gajet, sekali gus memudahkan mereka mengadaptasi mengikuti pembelajaran digital.

Sidang Dewan Negara bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.