4,612 unit kuarters polis siap ditambah baik

4,612 unit kuarters polis siap ditambah baik

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ia melibatkan peruntukan berjumlah RM112.6 juta.

razarudin
Razarudin Husain berkata sebanyak RM14.4 juta turut disalurkan bagi kerja-kerja peluasan 286 unit kuarters lama polis dari 700 kaki persegi seunit kepada 1,200 kaki persegi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 4,612 unit rumah kuarters polis seluruh negara siap ditambah baik setakat ini sejak peruntukan disalur tahun lepas, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata ia melibatkan peruntukan berjumlah RM112.6 juta diterima pasukan keselamatan itu dengan keseluruhan 465 projek dilaksanakan.

Selain itu, katanya sebanyak RM14.4 juta lagi disalurkan bagi kerja-kerja peluasan 286 unit kuarters lama polis dari 700 kaki persegi seunit kepada 1,200 kaki persegi seunit.

“Ia melibatkan pengubahsuaian dua unit menjadi satu unit kuarters sekali gus dapat memberi keselesaan kepada penghuni kuarters.

“Projek itu yang turut meliputi balai polis dan pos Pasukan Gerakan Am merupakan langkah permulaan di bawah kerangka Pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, di sini hari ini.

Razarudin berkata bagi projek pembangunan fizikal baharu, sebanyak 12 projek telah diluluskan untuk polis di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.35 bilion, sekali gus merupakan projek paling banyak diluluskan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan IPD, balai polis, kuarters perumahan dan lain-lain fasiliti iaitu IPD Kemaman dan Balai Polis Kijal, Terengganu; dan IPD dan Balai Polis Padang Besar serta perumahan, Perlis.

“Selain itu, IPD dan Balai Polis Nabawan serta perumahan, Sabah; Balai Polis Jelutong dan perumahan Pulau Pinang, Bengkel Pengangkutan IPK Kedah, dan Menara Tinjau Pos Batu Putih, Perlis,” katanya.

Razarudin turut menggesa setiap warga pasukan agar sentiasa mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan dengan meningkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.