Pembangunan Kota Madani perluas akses perumahan penjawat awam

Pembangunan Kota Madani perluas akses perumahan penjawat awam

Inisiatif ini amat dihargai oleh penjawat awam yang berdepan kesukaran mendapatkan rumah sewa, serta kos membayarnya.

Kota MADANI di Presint 19
Kota Madani akan merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Inisiatif pembangunan bandar pintar Kota Madani di Presint 19 yang mesra rakyat dan alam sekitar disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya bagi yang berkhidmat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Pengerusi Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) Dr Sathiskumar K Muthusamy berkata, inisiatif itu amat dihargai oleh penjawat awam, termasuk dalam kalangan berbangsa India yang berhijrah dari luar bandar ke Putrajaya dan sukar mendapatkan rumah sewa.

Katanya, kebanyakan penjawat awam berbangsa India pernah menyatakan mereka sering berdepan masalah mendapatkan tempat tinggal dan terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi pembayaran rumah atau bilik sewa.

“Disebabkan tidak dapat kuarters, mereka terpaksa menyewa di luar dengan kadar yang mahal. Ada juga yang merungut mereka sering jadi mangsa diskriminasi ketika cuba mendapatkan rumah sewa.

“Jadi, langkah kerajaan ini amat bertepatan dan kami sangat menghargainya. Ia bukan setakat penyediaan tempat tinggal malah memberi harapan kepada ramai penjawat awam untuk hidup selesa dan bertoleransi di bawah satu bumbung Kota Madani,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan projek pembangunan Kota Madani bernilai RM4 bilion di Presint 19, yang akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina-pajak-selenggara-pindah (BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Kota Madani akan merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program Jabatan Komunikasi Komuniti K Yuvarany berkata, pembangunan kuarters itu amat ditunggu-tunggu memandangkan beliau turut berdepan dengan kadar sewa mahal biarpun hanya menyewa bilik di Cyberjaya.

“Sewa bilik saya RM550 dan kadar sewa tempat letak kereta pula RM70 sebulan. Kos pengangkutan ulang-alik ke Putrajaya dan kadang-kadang ada tugasan luar, serta kos makanan mencecah lebih RM1,400 termasuk perbelanjaan lain,” katanya.

Yuvarany yang telah memohon kuarters kerajaan di Putrajaya pada November lepas kini diletakkan dalam senarai menunggu dan berharap permohonannya diterima secepat mungkin.

“Saya akur senarai menunggunya agak panjang. Masa saya mohon, angka gilirannya lebih 4,000, tetapi setakat ini nombor giliran yang telah lulus hanya lebih 3,000 tahun ini.

“Mungkin prosesnya perlu dipercepatkan dengan menghubungi pemohon itu sendiri dan menyoal selidik mereka sendiri berhubung keperluan kuarters,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aliff Asyraf Ab Aziz yang bertugas di Kementerian Komunikasi berkata, pembinaan kuarters baharu itu dilihat sebagai nilai tambah bagi petugas di Putrajaya.

“Saya pernah memohon kuarters di Kuala Lumpur ketika bertugas di sana dahulu tetapi gagal. Sekarang saya telah memiliki kediaman sendiri namun bukan semua orang bernasib baik ada rumah sendiri, lebih-lebih lagi kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa semalam dilaporkan berkata, projek pembangunan Kota Madani dijangka menjimatkan kos sara hidup hingga RM1,000 sebulan bagi penjawat awam.

Katanya, melalui projek itu, penjawat awam dapat menetap di kuarters yang disediakan pada kos minimum, dengan potongan elaun rumah dan elaun bantuan sara hidup hanya sekitar RM400 sebulan.

Keperluan sebenar kuarters di Putrajaya ialah 35,000 unit, namun hanya 22,000 unit tersedia sejak lebih 20 tahun lepas, tanpa peningkatan. Kini terdapat 17,000 permohonan dalam senarai menunggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.