Reformasi Pejabat Peguam Negara, kerajaan tiada halangan tubuh RCI, kata Takiyuddin

Reformasi Pejabat Peguam Negara, kerajaan tiada halangan tubuh RCI, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah bagi memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan.

PETALING JAYA:
Kerajaan tiada halangan dalam menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membawa perubahan kepada Pejabat Peguam Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan jika ada keperluan berdasarkan fakta, undang-undang dan langkah pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti serta keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah-langkah bagi memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said menyeru kerajaan supaya menubuhkan RCI untuk membawa perubahan memandangkan timbul defisit kepercayaan rakyat terhadap badan itu.

Katanya, jika tidak diselesaikan, defisit kepercayaan itu secara tidak langsung akan menyumbang kepada kebuntuan politik semasa dan menghalang usaha kerajaan membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi penting.

Takiyuddin berkata, buat masa ini kerajaan sudah memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Ia bagi menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang serta dalam masa sama mengelak berlakunya percanggahan kepentingan,” katanya.

Katanya, perkara itu akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara lain namun dengan kesesuaian sistem perundangan di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.