Selepas kenaikan 5 bulan, jualan kenderaan jatuh 96% bulan lalu

Selepas kenaikan 5 bulan, jualan kenderaan jatuh 96% bulan lalu

Persatuan Automotif Malaysia berkata, ia disebabkan pelaksanaan PKP sejak 1 Jun lalu untuk membendung lonjakan kes Covid-19.

Persatuan Automotif Malaysia meminta kerajaan melonggarkan sekatan dan membenarkan mereka beroperasi dengan SOP ketat.
PETALING JAYA:
Jualan kenderaan bagi separuh pertama tahun ini meningkat 43.65% atau 249,129 unit berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini.

Presidennya, Aishah Ahmad berkata, peningkatan itu disebabkan pengecualian cukai jualan di bawah pakej rangsangan ekonomi, selain kadar faedah pinjaman lebih rendah serta pengenalan model baharu.

Walaupun terdapat peningkatan keseluruhan bagi separuh pertama tahun ini, Aishah berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi bulan-ke-bulan (m-o-m) menunjukkan penurunan mendadak dari segi jualan, terutama pada Jun.

Beliau berkata, hanya 1,921 unit kenderaan dijual bulan lalu berbanding 47,204 unit pada Mei, penurunan sebanyak 96%. Jun tahun lalu merekodkan jualan sebanyak 44,755 unit.

Katanya, ini disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu untuk membendung lonjakan kes Covid-19.

“Akibat pandemik dan pelaksanaan sekatan terhadap kebanyakan aktiviti perniagaan dan sosial, jualan kenderaan bermotor terjejas teruk dalam tempoh yang dikaji,” katanya dalam sidang media maya.

Beliau mendapati jumlah keseluruhan pengeluaran (TIP) bagi tahun ini meningkat secara konsisten berbanding tempoh sama 2020 dengan pengecualian pada Jun tahun ini disebabkan sekatan pandemik.

TIP bulan lalu menurun kepada 276 unit daripada 42,536 pada Mei. TIP bagi Jun 2020 ialah 45,044 unit.

“Penurunan besar ini disebabkan penutupan kebanyakan kilang pemasangan kenderaan.

“Kekurangan cip komputer juga menjejaskan pengeluaran kereta,” katanya.

MMA menggesa kerajaan melonggarkan sekatan ke atas industri dan membenarkannya beroperasi semula dengan SOP ketat.

“Buat masa ini, kilang pengeluaran, bilik pameran dan jualan tidak dibenarkan beroperasi. Jika berterusan, ramai pengedar terutama yang kecil-kecilan tidak akan dapat bertahan.”

Mengenai unjuran beliau berkata, MAA menjangkakan jumlah jualan tahun ini lebih rendah daripada tahun lalu.

Persatuan itu menyemak semula unjuran jualannya kepada 500,000 unit tahun ini berbanding 570,000 unit dalam unjuran asalnya. Jumlah jualan pada 2020 ialah 529,434 unit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.