Sulam tangan bukan setakat sumber rezeki, tapi penyelamat mental Siti

Sulam tangan bukan setakat sumber rezeki, tapi penyelamat mental Siti

Siti Nur Amalina Mohamad Sukri berdepan tekanan ketika PKP semasa Covid-19 melanda global.

Sulam Tangan Siti Jadi Hobi Lumayan
Siti Nor Amalina berazam mahu meningkatkan kesedaran mengenai seni sulaman tangan supaya ia lebih dihargai.
PETALING JAYA:
Daripada makmal ke benang dan jarum – itu perjalanan luar jangkaan Siti Nur Amalina Mohamad Sukri, 32 yang meninggalkan laluan kerjaya konvensional untuk membina kehidupan sebagai tukang sulam tangan, yang kini menjadi sumber rezekinya.

Namun, keputusan dibuat graduan sarjana nanoteknologi dan bioperubatan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu tidak berlaku secara tiba-tiba. Ada kisah disebaliknya.

Siti berkata minat terhadap sulaman tangan bermula ketika negara berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP), saat dia sendiri bergelut dengan tekanan mental sehingga fikirannya terasa “bising”.

“Waktu PKP, otak saya sangat bising, macam ada orang jerit-jerit dalam kepala. Masa itu kita banyak tenaga, tapi tidak buat apa-apa, jadi fikir macam-macam, termasuk perkara yang tidak sepatutnya,” katanya kepada FMT.

Sulam Tangan Siti Jadi Hobi Lumayan
Antara karya Siti yang sudah siap untuk dihantar kepada pemiliknya.

Menurutnya, keadaan itu berubah apabila dia mula menyulam – aktiviti yang pada mulanya sekadar untuk mengisi masa, tetapi akhirnya membantu menenangkan fikirannya.

“Tapi bila mula buat sulaman tangan, saya perasan bunyi itu semakin senyap. Mungkin sebab otak ada sesuatu untuk difokuskan – nak cucuk jarum di mana supaya nampak kemas. Jadi tak ada masa fikir yang bukan-bukan. Ia sangat membantu,” katanya.

Siti berkongsi karya sulaman pertamanya di media sosial dan tanpa disangka dalam tempoh sebulan, dia mula menerima tempahan yang kemudiannya menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

“Harga paling rendah untuk sulaman tangan sekitar RM300 dan boleh mencecah ribuan ringgit, bergantung pada reka bentuk. Permintaan memang ada,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Pernah berdepan cabaran pada peringkat awal, Siti mendedahkan dia pernah ‘burn out’ dan terpaksa berehat seketika daripada menyulam.

“Dulu saya letak harga rendah, jadi kerja memang banyak tapi untung sedikit. Lama-lama saya penat dan ‘burn out’.

“Saya tukar stategi, naikkan harga dan tidak bergantung sepenuhnya pada tempahan. Saya buka kelas menyulam disamping menjual kit sulaman,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Langkah tersebut bukan sahaja membuka sumber pendapatan baharu, malah membantu mengurangkan tekanan kerja dan memberi ruang untuknya terus berkarya tanpa keletihan melampau.

Kini, Siti telah mengajar ratusan pelajar dari seluruh negara, sekali gus membina komuniti kecil pencinta seni sulaman tangan.

Sulam Tangan Siti Jadi Hobi Lumayan
Siti menggalakkan individu yang punya masalah kesihatan mental agar mencuba seni sulaman tangan.

Seni sulaman kurang dihargai di Malaysia

Namun, cabaran lain masih wujud. Ramai masih menganggap sulaman tangan sebagai kerja mudah, sedangkan satu karya boleh mengambil masa berhari-hari, berminggu-minggu, malah berbulan untuk disiapkan.

“Seni sulaman tangan di Malaysia masih kurang dihargai berbanding seni lain. Bila harga tinggi, orang akan persoal kenapa mahal. Padahal prosesnya sangat teliti dan memerlukan masa yang lama.

“Kalau lukisan orang boleh bayar ribu-ribu kenapa tidak karya sulaman? Padahal ia sama rumit,” katanya.

Bagi mengubah tanggapan itu, Siti aktif berkongsi proses sulaman secara langsung di media sosial, untuk menunjukkan sendiri usaha di sebalik tabir yang ramai terlepas pandang.

“Bila saya buat siaran langsung, orang mula faham kenapa harganya mahal. Sebelum ini nampak macam cepat sebab saya rakam guna ‘time-lapse’, padahal sebenarnya ambil masa yang sangat lama dan leceh,” katanya sambil tertawa.

Bagi Siti, walaupun perjalanan kariernya tidak berakhir dengan dirinya menyarung jubah putih dan bekerja di makmal, dia tetap puas dengan apa yang diusahakannya kini.

Harapannya kini agar seni sulaman tangan akan lebih dihargai pada masa depan – setanding dengan cabang seni lain dan setimpal dengan masa, usaha serta ketelitian yang dicurahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.