Penerima vaksin ‘picagari kosong’ akan terima suntikan baharu, kata Adham

Penerima vaksin ‘picagari kosong’ akan terima suntikan baharu, kata Adham

Dr Adham Baba berkata Kementerian Kesihatan akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan semula.

Dr Adham Baba berkata sesiapa yang dapat membuktikan diberi suntikan ‘picagari kosong’ akan dipanggil semula untuk suntikan dos baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sesiapa yang dapat membuktikan dirinya diberikan suntikan ‘picagari kosong’ akan dipanggil semula untuk disuntik dengan dos baharu,” kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan semula.

“Dipanggil suntik semula,” katanya yang dipetik berkata kepada Berita Harian.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan berkata, tindakan tatatertib sudah diambil terhadap petugas di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Kedah berhubung isu suntikan vaksin kosong.

Ia susulan satu video tular mendakwa petugas kesihatan tidak menyuntik vaksin itu selepas memasukkan jarum picagari ke lengan penerima dan menurut CITF, kes itu berlaku di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada 17 Julai lalu.

Sementara itu, seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa divaksin dengan “picagari kosong” di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Negara Bukit Jalil dua hari lalu.

Ling Kwang Chun, 33, memberitahu FMT proses itu mengambil masa kurang 20 saat daripada saat dia mengimbas kod vaksinasi di kaunter.

“Saya merasakan jarum di lengan saya, tetapi mendapati piston hitam itu tidak bergerak sepanjang masa,” katanya sambil menambah petugas itu tidak menunjukkan picagari terbabit sebelum dan selepas proses vaksinasi, tidak seperti ketika dos pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.