Geng Bobot tumpas, 5 suspek ditahan

Geng Bobot tumpas, 5 suspek ditahan

Suspek tempatan berusia 19 hingga 32 tahun itu disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata sasar warga asing.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata semua mangsa dalam kes itu turut ditahan kerana memberikan keterangan bercanggah mengenai jumlah wang yang disamun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan lima lelaki ahli disyaki anggota kumpulan Geng Bobot berhubung rompakan bersenjata menyasarkan warga asing di sebuah rumah kedai berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata anggota kumpulan itu terdiri daripada warga tempatan berusia 19 hingga 32 tahun ditahan di sekitar Sentul pada hari kejadian selepas menerima laporan pada jam 9 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lima lelaki telah melarikan sejumlah wang dan beberapa telefon bimbit milik dua lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar, menurut laporan Bernama.

“Kesemua suspek menaiki tiga motosikal berasingan dan bersenjatakan parang serta pistol.

“Wang tunai yang disamun adalah hasil penjualan ikan sejuk beku dan sayuran serta wang simpanan mangsa.

“Semasa kejadian, seorang lelaki warga Bangladesh cedera di kepala kerana ditetak menggunakan parang oleh suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis turut merampas wang tunai RM51,362, tujuh telefon milik mangsa, dua pistol ‘airsoft’, tiga motosikal serta beberapa pakaian dipercayai digunakan suspek semasa menyamun.

Menurutnya, semua mangsa kejadian itu turut ditahan kerana disyaki memberi keterangan bercanggah mengenai jumlah wang disamun iaitu RM105,000, sedangkan jumlah yang dirampas dari suspek ialah lebih kurang RM11,000. Selain itu polis juga menemui RM40,000 di rumah mangsa.

Beliau berkata siasatan mendapati empat daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua suspek direman selama enam hari hingga 21 Julai bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.