‘Saya tak kisah berlapar, tapi demi anak-anak,’ kata bapa berkerusi roda, terpaksa kibar bendera putih

‘Saya tak kisah berlapar, tapi demi anak-anak,’ kata bapa berkerusi roda, terpaksa kibar bendera putih

Kemalangan jalan raya 5 tahun lalu mengubah hidup bekas pemandu teksi, Mohd Shakier Ismail yang kini hanya bergantung pada perniagaan kecil-kecilan bagi menyara dua orang anak perempuannya.

PETALING JAYA:
Sambil memegang batang besi di tangan, baju putih di atas ribanya, Mohd Shakier Ismail secara perlahan-lahan menolak kerusi rodanya ke arah tingkap untuk mengibarkan bendera putih.

“Saya tak kisah jika orang menghina saya kerana cuba mendapatkan bantuan. Ini adalah pilihan terakhir, saya tak tahu apa lagi nak buat,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Shakier memandu teksi sebagai sumber pendapatannya, namun segalanya berubah selepas terlibat dalam kes langgar lari lima tahun lalu. Kemalangan itu menyebabkan bahagian belakangnya cedera dan kini dia sukar berjalan.

Mohd Shakier Ismail mengibarkan bendera putih sebagai isyarat untuk mendapatkan bantuan. (Gambar Moganraj Villavan)

Lelaki berusia 50 tahun itu tidak dapat lagi mencari rezeki bagi menyara anak perempuan berusia 15 dan 19 tahun kerana terlantar sakit di rumah.

Namun, dia tidak mengalah apabila beralih kepada perniagaan kecil-kecilan dengan menjual makanan ringan dan kadangkala mampu memperolehi RM60.

Walaupun kesakitan masih dirasai dan terpaksa menggunakan tongkat, dia tetap berusaha berniaga dari pintu ke pintu di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran dan berharap ada rezeki untuknya sekeluarga.

Mohd Shakier Ismail bersama makanan ringan yang tidak dapat dijualnya kerana perintah kawalan pergerakan (PKP). (Gambar Moganraj Villavan)

Bagaimanapun, dia sekali lagi hilang sumber pendapatan apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

“Saya cuba menjual makanan ringan di kawasan perumahan berhampiran tetapi ditahan polis dan diarahkan pulang,” katanya.

Dia buntu memikirkan keadaannya yang langsung tidak mempunyai wang bagi membeli makanan untuk dua anaknya dan Shakier hanya mampu makan sekali sehari.

“Nasi putih bersama kicap dan telur goreng sudah cukup untuk saya. Saya tidak kisah berlapar tetapi perlu memikirkan dua anak yang bergantung pada saya. Sebagai bapa, saya mempunyai tanggungjawab menyara keluarga.

“Saya menerima bantuan lain tetapi ia tidak mencukupi. Malah, sekarang pun, saya cuma ada RM32 dalam poket,” katanya berlinangan air mata.

Selepas kisah kesempitan hidupnya disiarkan FMT Januari lalu, seorang insan berhati mulia tampil membayarkan sewa rumah untuk dua anaknya yang tinggal berasingan sejak dua tahun lalu.

Dia kini hidup bersendirian di sebuah bilik yang disewa dengan kadar RM300 sebulan di Kepong, Kuala Lumpur yang mendapat subsidi Baitulmal.

Shakier memohon sebuah unit rumah kos rendah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Disember tahun lalu tetapi masih belum diluluskan.

“Lebih mudah untuk saya menjaga anak sekiranya kami tinggal bersama,” katanya yang berharap dapat dibantu supaya boleh berdikari dan memberi kehidupan lebih baik kepada anaknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu Shakier, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.