Polis tahan 4 lelaki disyaki ahli sindiket edar ganja

Polis tahan 4 lelaki disyaki ahli sindiket edar ganja

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata sindiket itu dipercayai aktif mengedar ganja di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata empat suspek yang positif ganja itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua suspek berusia 28 hingga 32 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, di sini, pada 29 Jun lepas itu.

Beliau dipetik Bernama berkata, kira-kira 6kg ganja bernilai RM23,943 turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan serbuan pertama di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Taman Maju Jaya di sini pada 2.20 petang selepas melihat dua suspek menaiki sebuah kereta jenis Peugeot di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan menemui beg galas di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi bungkusan dadah dipercayai ganja seberat 1kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Mohamad Fakhrudin berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan seorang daripadanya berperanan sebagai orang tengah dalam mencari pembeli dadah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain telah bergerak aktif sejak setahun lepas.

Menurutnya, siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek hasil serbuan di satu apartmen di Taman Pasir Permata, di sini.

Dalam serbuan itu, polis merampas beg berisi lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 4.6kg di dalam bilik utama.

“Polis turut menemui satu lagi beg plastik di bilik terbabit dengan di dalamnya terdapat tiga lagi ketulan mampat disyaki ganja seberat 500g,” katanya.

Menurutnya, polis percaya unit apartmen terbabit digunakan suspek sebagai tempat pemprosesan ganja yang diperolehi sebelum dijual kepada pelanggan.

Katanya, keempat-empat suspek yang positif dadah jenis ganja itu mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.