
Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin, dalam satu kenyataan, berkata perkara terakhir yang diperlukan negara ketika sistem kesihatan hampir kepada tahap kritikal sekarang ini adalah kehilangan lebih ramai anak tempatan untuk keluar bekerja di luar negara setelah tamatnya kontrak mereka.
“Kami menerima beberapa rungutan dan juga aduan daripada pegawai perubatan kontrak berhubung nasib mereka yang masih lagi menjadi tanda tanya akibat daripada pelaksanaan sistem kontrak sejak tahun 2017.
“Ditambah pula dengan beban kerja yang kritikal pada era pandemik ini, seharusnya jasa pengorbanan mereka perlu dibalas dengan setimpal.
“Nasib mereka tidak seharusnya dibiarkan tergantung tidak bertali setelah hampir lima tahun mengorbankan tenaga dan masa mereka untuk negara.”
Pegawai perubatan kontrak berkenaan juga tidak mendapat pelbagai keistimewaan seperti pegawai perubatan tetap lain, apabila tiada peluang tajaan untuk melanjutkan pelajaran.
“Kami ingin menuntut penjelasan dan justifikasi daripada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan isu masa depan pegawai-pegawai perubatan kontrak ini.
“Cadangan kami, wujudkan lebih banyak peluang dan ruang untuk menyerap mereka sebagai pegawai tetap dan sediakan insentif tambahan sebagai penghargaan kepada semua barisan hadapan dalam sistem kesihatan negara.”