Hanya 5% pengundi Melayu sokong Amanah, kata Pemuda

Hanya 5% pengundi Melayu sokong Amanah, kata Pemuda

Ketua Hasbie Muda berkata dapatan itu merupakan realiti politik dan patut menjadi 'wake-up call’ menjelang PRU16.

Hasbie Muda
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menegur pemimpin Amanah yang tidak aktif di media sosial untuk mendekati pengundi muda. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pemuda Amanah mendedahkan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu sekitar satu hingga lima peratus sahaja.

Ketua Hasbie Muda berkata, dapatan itu merupakan realiti politik dan patut dijadikan ‘wake-up call’ menjelang PRU16.

“Realitinya, Amanah hanya bermain sekitar satu hingga lima peratus dalam kalangan pengundi Melayu. Kita sengaja minta dapatan ini dibentangkan tanpa berselindung supaya Pemuda sedar dan buat sesuatu,” katanya ketika berucap dalam Amanat Ketua Pemuda Amanah di Dewan Teater Saloma.

Beliau juga menegur pemimpin Amanah yang tidak aktif di media sosial untuk mendekati pengundi muda.

“Berapa ramai pimpinan nasional yang ada akaun TikTok aktif? Yang ada lebih 100,000 ‘likes’ pun boleh bilang dengan jari. Pemuda negeri pun masih ada yang tak ada akaun TikTok.

“Macam mana kita nak masuk pilihan raya kalau keadaan kita masih begini?” soalnya.

Pada PRU15, Amanah bertanding di 54 kawasan Parlimen namun hanya menang lapan, berbanding 11 dimenangi pada PRU14.

Dalam pada itu, Hasbie mencadangkan penubuhan dana jentera Pemuda dengan menyeru lantikan politik daripada kalangan Pemuda menyumbang sekurang-kurangnya sebulan gaji.

“Pemuda tak ada duit, itu kita kena jujur. Tapi, kita ada lantikan politik. Jadi, saya ajak lantikan politik kita tunjukkan komitmen, sumbang sebulan gaji untuk dana jentera Pemuda,” katanya sambil memaklumkan beliau sendiri akan memulakan sumbangan berkenaan.

Beliau turut menetapkan sasaran baharu supaya setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya seorang Adun daripada sayap Pemuda, pada pilihan raya akan datang.

“Kalau dulu kita ada tujuh Adun Pemuda, kemudian turun kepada dua. PRU akan datang, kita nak setiap negeri ada Adun Pemuda Amanah,” katanya sambil menyatakan sayap itu dalam mod bersedia berdepan PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.