
“Sekarang ini (muncul) trend baharu dalam generasi Z dan generasi Alpha ini … kadang-kadang berlaku kebangkitan tanpa pemimpin, tak ada ketua,” katanya menambah, trend ini dapat dilihat di banyak negara.
Gen Z merujuk kepada golongan lahir antara 1996 dan 2010, sementara Gen Alpha dilahirkan antara 2010 dan 2024.
Mohamad merujuk kebangkitan belia di beberapa negara baru-baru ini, seperti Nepal dan Bangladesh, di mana rakyatnya turun ke jalanan dan menumbangkan kerajaan tanpa didalangi tokoh utama mahupun struktur parti.
Beliau berkata, gerakan seumpama itu mencerminkan gelombang kesedaran politik yang kian meningkat dalam kalangan belia pada peringkat global, termasuk di Malaysia.
“Generasi baharu ini sedang bangkit … gerakan yang tidak diterajui mana-mana tokoh,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Amanah hari ini.
“Sebab itu, kalau Amanah, terutamanya Pemuda, tidak dapat menangani pemikiran anak-anak muda ini, kita bimbang di Malaysia juga mungkin boleh berlaku satu kebangkitan dikatakan ‘Mass Movement Without Leaders’.”
Sehubungan itu, beliau menggesa sayap Pemuda Amanah agar sentiasa mengikuti perubahan dinamika ini serta memahami bahasa dan aspirasi generasi muda.
Golongan ini, katanya, akan lantang bersuara menentang ketidakadilan dan membela golongan tertindas.
Beliau berkata, parti mesti bersedia menjalani pembaharuan kepimpinan, memandangkan generasi pengasas semakin berusia, dan memastikan barisan pemimpin seterusnya bersedia mengambil alih pucuk pimpinan, sebaik sahaja generasi lama meninggalkan politik.
Mengenai perkara berasingan, Mohamad menyentuh sejarahnya dengan PAS, menyatakan perbezaan politik tidak seharusnya memutuskan hubungan peribadi.
Mohamad sebelum ini merupakan timbalan presiden parti Islam itu. Pada 2015, beliau mengetuai puak profesional dalam PAS keluar parti selepas tewas dalam pemilihan parti kepada puak ulama.
“Walaupun berbeza dari segi politik, secara peribadi, kita masih bersahabat. Kita tidak boleh lupakan sahabat,” katanya.