Serap doktor kontrak diharap dapat rapat jurang kesihatan di Sabah

Serap doktor kontrak diharap dapat rapat jurang kesihatan di Sabah

Ahli Parlimen Shahelmey Yahya kata rakyat luar bandar di Sabah berdepan kesukaran mendapatkan rawatan segera.

doctor
Seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan berharap penyerapan 4,500 doktor kontrak ke jawatan tetap pada tahun depan dapat merapatkan jurang mutu perkhidmatan kesihatan awam antara Semenanjung dan Sabah.

Shahelmey Yahya (BN-Putatan) berkata rakyat luar bandar di Sabah berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan segera, disebabkan ketidakcukupan kakitangan barisan hadapan untuk melayani setiap seorang pesakit.

“Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) seharusnya memastikan nisbah doktor kepada penduduk dapat ditingkatkan mengikut keperluan demografi di sesebuah daerah,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada 10 Okt lalu.

Selain itu, 935 graduan jururawat Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan.

Dalam pada itu, Shahelmey membangkitkan beberapa persoalan berhubung penyerapan doktor kontrak yang perlu dijawab kerajaan, antaranya jumlah doktor kontrak yang sedang disenarai pendek untuk diserap ke penjawatan tetap, untuk Sabah bagi tahun depan.

Shahelmey juga meminta kerajaan mendedahkan berapa buah fasiliti kesihatan awam di Sabah yang akan menerima manfaat daripada penyerapan doktor kontrak, dan anggaran hasil tahunan kerajaan yang diperlukan untuk melaksanakan dasar itu.

Beliau menegaskan, “dasar penyerapan perjawatan tersebut perlu digerakkan sejajar dengan usaha menaik taraf hospital dan klinik kesihatan menerusi peruntukan RM1.2 bilion yang dikhususkan bagi tujuan tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.