
Jabatan Perangkaan dalam kenyataan berkata, indeks harga pengguna (IHP) bagi Mei 2021 meningkat kepada 123.1 daripada 117.9 pada bulan yang sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHP keseluruhan ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan ketara terutamanya dalam kumpulan pengangkutan (26.0%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.1%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.5%).
Mengenai kenaikan harga makanan sejak setahun lalu Uzir berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), terdapat kenaikan 124.5% bagi indeks minyak sayuran yang didorong oleh lonjakan permintaan terhadap biofuel.
“Ini diikuti oleh gula (57.3%), bijirin (36.6%), tenusu (28.0%) dan daging (10.0%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
“Peningkatan indeks bijirin adalah kesan daripada kemarau di Amerika Selatan yang menjejaskan hasil tanaman jagung dan kacang soya serta kopi dan gula.”
Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 363 item menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, manakala 123 item mencatatkan penurunan dan 66 item tidak berubah.
Berhubung peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia, beliau berkata, kenaikan tahunan pada Mei 2021 adalah lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, iaitu 1.9%
“Momentum yang perlahan ini adalah kesan daripada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sepanjang Mei yang sedikit sebanyak telah meredakan tekanan inflasi bagi kumpulan ini.”
Lapan negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, iaitu Terengganu (6.2%), Kelantan (5.6%), Pahang (5.1%), Kedah & Perlis (4.8%), Negeri Sembilan (4.7%), Johor (4.6%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.5%) dan Perak (4.5%).