
Pensyarah ekonomi kanan Universiti Malaya, Goh Lim Thye, berkata perlu ada langkah dalam belanjawan yang menggabungkan keterangkuman dan produktiviti untuk melindungi isi rumah daripada kejutan luaran.
“Idea di sebaliknya adalah untuk mewujudkan penstabil automatik yang meredakan tekanan terhadap perbelanjaan isi rumah dan mengelak hakisan mengejut pendapatan boleh guna serta keyakinan pengguna,” katanya kepada FMT.
“Contohnya, memperkukuh subsidi bahan bakar dan makanan bersasar, menawarkan rebat utiliti sementara dan memperluas pemindahan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah, dapat mengurangkan kesan perubahan harga global terhadap isi rumah.
“Dari segi produktiviti, lebih banyak sumber boleh dilaburkan ke arah pendidikan teknikal dan vokasional, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta program pendigitalan bagi memastikan individu tidak semakin terbeban dengan tekanan kewangan apabila menghadapi kejutan luaran.”
Goh turut menggesa lebih banyak pemindahan tunai bersasar untuk melindungi isi rumah daripada tekanan inflasi.
“Pemindahan tunai langsung memberi kecairan isi rumah segera, seterusnya ada fleksibiliti untuk mengutamakan keperluan asas seperti makanan, penjagaan kesihatan atau yuran persekolahan.
“Peruntukan bantuan tunai RM15 bilion pada 2025 boleh diselaraskan untuk mengurangkan tekanan inflasi, sekiranya perlu.”
Beliau turut menggesa lebih banyak pelaburan dalam sektor permintaan tinggi di peringkat global untuk memberi daya tahan lebih besar terhadap kejutan luaran, memandangkan kemungkinan keadaan pasaran akan terus tidak menentu.
Menurutnya, pelaburan dalam sektor semakin mendapat permintaan di peringkat global seperti barangan elektronik, komponen tenaga boleh diperbaharui atau produk halal akan memastikan lebih ketahanan untuk ekonomi, seterusnya membantu Malaysia menangani kejutan luaran dengan lebih berkesan.
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway pula berkata, kerajaan patut mengutamakan usaha menarik pelaburan langsung asing dan tempatan dalam sektor HGHV dengan menambah baik infrastruktur serta mengurangkan bebanan kawal selia bagi memacu minat pelabur di Malaysia.
“Wujudkan keadaan yang memberdayakan dan persekitaran pengoperasian efisien seperti pengeluaran permit dan lesen, infrastruktur diselenggara baik seperti jalan raya serta perkhidmatan awam cekap dengan beban kawal selia rendah.
“Sebarang tindakan bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam infrastruktur negara akan merangsang pelaburan langsung asing dan domestik dalam sektor bernilai tinggi.”
Yeah turut menekankan kerajaan mesti memastikan perbelanjaan produktif bagi mencapai sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada bawah 3% menjelang 2030.
“Keyakinan pelabur adalah kunci ke arah mencapai sasaran ini.
“Pelencongan satu atau dua tahun boleh diterima tanpa mencetuskan reaksi buruk pasaran atau menjejaskan keyakinan pelabur, asalkan perbelanjaan kerajaan tidak dilihat sebagai membazir atau tidak produktif.”
Goh senada dengan sentimen ini dan menegaskan strategi fiskal jangka sederhana yang berdisiplin serta jelas menggariskan jalan ke arah penyatuan fiskal penting untuk memastikan defisit kekal di tahap mampan dan terurus.