
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin kestabilan harga di pasaran di sebalik kenaikan inflasi yang mungkin berlaku akibat pelaksanaan GST.
“Apabila GST dilaksana, mana-mana negara kita akan lihat lonjakan inflasi. Kalau Malaysia sekali naik (inflasi), sangat jarang akan turun balik.
“Ada orang kata harga teh ais naik RM3 sekarang, tapi sebenarnya yang banyak itu adalah dari siri 2015 dan 2016 yang masa itu GST dilaksana.
“Maka, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kestabilan harga bagi mengekalkan inflasi itu,” katanya dalam audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ dimuatnaik semalam.
Rafizi berkata, GST bersifat regresif kerana hanya rakyat yang parah pada akhirnya dan jika sistem cukai itu dilaksanakan semula, pasaran buruh akan terjejas.
“Sebahagian besar keluarga di negara ini memang tak bayar cukai sebab gaji mereka tak tinggi, malah gagal mencapai nilai ambang. Andainya beban cukai kosong dan bila ada GST, mungkin RM1,000 hingga RM2,000 setahun akan ditanggung (mereka).”
Pada 3 Julai lalu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula GST buat masa ini kerana ‘tidak praktikal’ dalam keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya, perniagaan sedia ada dan baharu telah ‘beralih’ kepada struktur cukai alternatif sejak GST berkadar sifar dilaksanakan pada 2018.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Putrajaya akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula GST apabila ekonomi bertambah baik dan gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.
Kerajaan mengumumkan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk meliputi lebih banyak barangan mulai 1 Julai lalu, dengan cukai 5% hingga 10% dikenakan bagi barangan bukan keperluan, manakala cukai perkhidmatan tambahan merangkumi sewa dan pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan serta pendidikan swasta.