
Ketua Pegawai Eksekutif, T Saravanan, berkata perubahan subsidi akan memberi kesan rantaian kepada harga makanan dan minuman di pasaran memandangkan gula adalah bahan asas dalam industri tersebut.

“Dari pengalaman lalu, setiap kali subsidi dikurangkan atau dihapuskan, kesannya akan tercermin dalam indeks harga pengguna (CPI). Peniaga sering menjadikan ia sebagai alasan untuk menaikkan harga, walaupun kenaikan kos sebenar tidak sebesar itu.
“Kebelakangan ini harga makanan sudah meningkat akibat kos logistik, cuaca, kadar tukaran mata wang dan sebagainya. Kalau tambah lagi pemansuhan subsidi gula, ia akan menguatkan lagi tekanan inflasi makanan yang akhirnya pengguna menanggung beban,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, dilaporkan menggesa kerajaan merasionalisasikan subsidi kepada pengeluar gula dalam belanjawan akan datang dan menggunakan peruntukan itu bagi meningkatkan elaun pegawai perubatan.
Katanya, memansuhkan atau merasionalisasikan subsidi itu akan membebaskan sekurang-kurangnya RM500 juta tanpa membebankan keseluruhan belanjawan.
Dalam pada itu, Saravanan berkata sebarang cadangan pemansuhan subsidi perlu diteliti dengan mendalam serta disokong kajian impak terhadap kos sara hidup dan CPI kerana ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Sebarang perubahan terhadap dasar subsidi tidak boleh hanya dinilai dari sudut fiskal kerajaan atau kebajikan pegawai semata-mata, tetapi pertimbangkan kesannya kepada pengguna yang terpaksa membayar lebih untuk makanan dan minuman harian,” katanya.
Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berbeza pendapat, menyatakan subsidi gula patut dikurangkan bagi menaikkan harga bahan itu sekali gus dapat menurunkan pengambilan gula tidak terkawal.

“Ini memandangkan kes obesiti, kencing manis dan darah tinggi di Malaysia adalah tinggi, yang mana salah satu faktor risikonya ialah penggunaan gula berlebihan dalam minuman dan makanan harian,” katanya.
Beliau berkata, sumber pendapatan yang dijimatkan kerajaan itu dapat digunakan untuk membantu program kesihatan serta bagi tujuan pendanaan tabung bantuan sosial negara.
“Dengan beban kesihatan semakin meningkat dan sumber kakitangan berkurangan, adalah baik untuk perubahan sistem emolumen kakitangan perubatan dan kesihatan dilaksana.
“Ini juga dapat dibantu dengan cukai yang hilang akibat penyeludupan alkohol, tembakau, beras dan minyak masak yang merugikan negara,” katanya.