
Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) Ogos 2025 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata ia didorong terutamanya oleh peningkatan lebih tinggi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan yang naik kepada 5.6% berbanding 5.5% pada Julai lepas.
Elemen lain yang turut mendorong peningkatan itu adalah penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.0% (Julai 2025: 3.9%); restoran dan perkhidmatan penginapan pada 3.5% (Julai 2025: 3.1%) manakala pendidikan 2.4% (Julai 2025: 2.2%).
“Ini termasuk makanan dan minuman 2.0% (Julai 2025: 1.9%); rekreasi, sukan dan kebudayaan 0.9% (Julai 2025: 0.8%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.2% (Julai 2025: 0.1%),” katanya.
Menurut DOSM, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.0% pada Ogos 2025 berbanding 1.9% pada bulan sebelumnya.
Inflasi subkumpulan makanan di luar rumah kekal dengan kadar 4.3% sepertimana bulan sebelumnya manakala makanan di rumah turun kepada negatif 0.1% pada Ogos 2025 daripada 0.3% pada Julai 2025.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata 59.7% item (342 daripada 573) dalam bakul atau kelompok IHP mencatat kenaikan harga.
Daripada jumlah itu, sebanyak 332 item atau 97.1% mencatat peningkatan kurang atau bersamaan dengan 10% manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10% pada Ogos 2025.
“Baki sebanyak 185 item (32.3%) menunjukkan penurunan dan 46 item kekal tidak berubah,” katanya.
Selain itu, kedua-dua inflasi bahan api petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel masih kekal pada jajaran negatif iaitu masing-masing negatif 9.2% daripada negatif 7.8% pada Julai 2025 dan negatif 5.7% daripada negatif 7.1% pada Julai 2025.
“Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2025 ialah RM3.15 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM3.20). Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.90 seliter berbanding RM3.27 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM2.89).
“Selain itu, purata harga Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.
Bagi inflasi di peringkat negeri, Uzir berkata 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.3% dengan Kelantan mencatat inflasi terendah 0.1% pada Ogos 2025.
Bagaimanapun, empat negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor pada 2.0% dan diikuti dengan Selangor (1.5% ), Terengganu (1.5%) dan Negeri Sembilan (1.4%).