Kegiatan jual ‘vaksin’ Covid-19 diserbu

Kegiatan jual ‘vaksin’ Covid-19 diserbu

Risikan polis membawa kepada serbuan keatas kegiatan menjual 'vaksin' Covid-19.

PETALING JAYA:
Polis menahan tiga individu dalam siasatan ke atas kegiatan menjual ‘vaksin’ Covid-19, hasil risikan dan laporan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Polis berkata kegiatan itu menawarkan RM420 bagi dua suntikan kepada orang yang dihubungi secara rawak.

Difahamkan, bayaran akan dibuat selepas suntikan diberi kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang bertugas sebagai pegawai Penyelidikan Covid-19 Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mendapat maklumat berkenaan aktiviti penjualan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, hasil serbuan polis berjaya menahan tiga individu terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berumur lingkungan 23 hingga 50 tahun, yang dipercayai pekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat swasta.

“Sebanyak enam buat telefon bimbit dan beberapa dokumen dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ketua sekretariat CITF Persekutuan mengesahkan bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dan segera menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau Sekretariat CITF di 03-8893 4302/4304 jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin Covid-19.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta pihak berkuasa dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) membuat siasatan penuh berhubung dakwaan vaksin dijual oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian.

Presiden MMA, M Subramaniam, berkata pihaknya dimaklumkan vaksin berkenaan dijual dengan harga kira-kira RM400 bagi dua dos untuk seorang individu.

Katanya, proses vaksinasi didakwa dijalankan sebuah fasiliti penjagaan kesihatan swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.