
Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar dipetik Bernama berkata, lelaki tempatan itu menunjukkan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika melalui SJR berkenaan sekitar 8.30 pagi.
“Suspek kelihatan berada dalam keadaan mencurigakan dan mendakwa tidak membawa sebarang muatan dalam lori berkenaan, sebelum pemeriksaan dijalankan menemui daun ketum dengan bilangan yang banyak.
“Ini adalah rampasan daun ketum terbesar di Pahang bagi tahun ini, dengan siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu diperolehi daripada sebuah negeri di utara tanah air untuk dihantar ke sebuah lokasi di Kuantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lori itu menemui pelbagai bungkusan antaranya 17 guni besar berwarna biru, 243 plastik berwarna kuning dan 25 kotak pelbagai saiz, yang kesemuanya mengandungi daun ketum.
Katanya, suspek dikatakan menerima wang pendahuluan RM1,500 sebagai upah manakala jumlah yang sama juga sepatutnya dibayar sekiranya kesemua daun berkenaan selesai dihantar ke Kuantan, sebelum dia akan dihubungi oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Sham’.
“Kita percaya individu yang dipanggil Sham dan berumur 20-an ini dalang utama dan masih berada sekitar Lembah Klang. Usaha mengesan lelaki ini masih diteruskan,” katanya.
Zaiham berkata, daun ketum itu juga berkemungkinan akan diedarkan kepada beberapa ejen, berikutan di bungkusan yang ditemui turut tertera beberapa nama individu.
Menurutnya, harga pasaran kini daun berkenaan adalah kira-kira RM30 bagi 1kg. Daun ketum seberat 1.5 tan atau 1,505kg itu juga dapat menghasilkan lebih 30,000 bungkus air ketum.
Polis merampas wang tunai bernilai RM1,900 dan sebuah lori jenis Daihatsu Delta.
Suspek yang mempunyai lima kesalahan lampau berkaitan kes dadah itu, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.