Di bawah rancangan agresif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, pulau itu boleh membuka pintunya kepada pelancong tempatan dan asing dalam tempoh kurang tiga bulan.
Rancangan itu membabitkan pembangunan “gelembung hijau” di pulau indah yang didiami 110,000 orang dengan mempercepatkan proses vaksinasi bagi memastikan 80% populasinya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.
“Langkawi akan menjadi destinasi pertama untuk gelembung hijau, tetapi berita baik untuk peserta industri pelancongan di seluruh negara – daripada pengusaha hotel kepada pelancongan, peniaga dan pemandu pelancong – ialah lebih banyak gelembung hijau akan diwujudkan,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Katanya, Langkawi adalah lokasi perintis sempurna kerana ia terpencil dengan populasi kecil serta pintu masuk dan keluar tunggal dalam bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
“Ia bukan sahaja membolehkan kami mengaktifkan semula industri pelancongan di sana tetapi turut melihat bagaimana usaha kami dapat ditambah baik di gelembung hijau lain dari Pulau Pinang ke Kuching.”
Gelembung hijau membenarkan perjalanan antara negeri dengan kurang 40 kes aktif Covid-19 dilaksanakan sebelum ini tetapi kini dihentikan selepas lonjakan semula jangkitan.
Kali ini bagaimanapun, gelembung hijau pelancongan akan merujuk kepada destinasi pelancongan yang sudah mencapai imuniti kelompok.
Untuk melakukannya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mendorong usaha vaksinasi di destinasi pelancongan dipercepatkan dengan bantuan peserta industri, justeru membenarkan mereka yang sudah divaksin mengunjungi destinasi terbabit.
“Pelancongan, yang menyediakan punca pendapatan kepada jutaan orang di negara ini, tidak boleh pulih selagi rakyat tidak boleh mengunjungi destinasi pelancongan, oleh itu memastikan tempat ini selamat dikunjungi adalah penting.
“Kerajaan bergerak sepantas yang kami boleh untuk mencapai imuniti kelompok di seluruh negara tetapi untuk menghidupkan semula industri pelancongan, kita tidak perlu menunggunya. Kita boleh mula dengan destinasi pelancongan, satu demi satu.”
Nancy berkata, kementeriannya akan memainkan peranan untuk mempercepatkan proses vaksinasi dengan memberi subsidi kos untuk tenaga kerja tambahan dan pusat vaksin serta bekerjasama dengan rakan logistik dan pengangkutan.
“Kami akan mengadakan taklimat berhubung SOP dan libat urus secara tetap dengan pihak berkepentingan mengenainya. Sebaik sahaja sebuah destinasi pelancongan mencapai imuniti kelompok, kami akan membukanya untuk aktiviti pelancongan.”
Selain Langkawi, kementerian itu sudah mengenal pasti Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Pantai Desaru, Pulau Perhentian, Kuching, Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman sebagai gelembung hijau.
Nancy berkata, mencapai imuniti kelompok di destinasi pelancongan adalah penting untuk membina semula keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Saya berharap peserta industri pelancongan akan bersama kami melakukan semua yang kami mampu untuk mempercepatkan pembukaan semula sektor ini secepat mungkin. Kita boleh melakukannya.”