
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kira-kira 4.6% rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan — meningkat sekali ganda berbanding 2.3% pada 2019.
Walaupun rawatan amat penting, pencegahan awal memainkan peranan utama, terutama dalam mengenal pasti tanda-tanda tekanan perasaan sebelum ia menjadi lebih serius.
Jika intervensi dilakukan lebih awal, cabaran emosi boleh dikawal sebelum berubah menjadi penyakit.
Namun, stigma, rasa malu dan sikap berdiam diri terus menjadi penghalang kepada ramai orang daripada mendapatkan bantuan – sehingga terlambat.
Awak OK Tak?
Kempen kesedaran awam kini menjadi strategi utama untuk menggalakkan perbincangan mengenai kesihatan mental — termasuk menerusi program kesedaran ‘Awak OK Tak?‘ yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini.
Menterinya, Nancy Shukri, berkata idea itu tercetus selepas kementeriannya menerima banyak kes melibatkan individu yang berdepan kemurungan dan gangguan emosi.
“Kami mahu meningkatkan kesedaran supaya orang ramai dapat menilai kesihatan emosi mereka sendiri. Bila seseorang bertanya ‘Awak OK tak?’, ia membuatkan kita berhenti dan berfikir — mungkin saya perlu bercakap dengan seseorang,” katanya kepada FMT.
Katanya, pertanyaan ‘Awak OK tak?‘ kini bukan sekadar ayat kosong, tetapi satu isyarat mudah yang boleh membuka ruang kepada empati dan bantuan awal.
Melangkaui kesedaran
Di sebalik slogan itu ialah Talian Kasih 15999, talian hotline 24 jam yang menawarkan khidmat kaunseling, sokongan emosi serta rujukan untuk bantuan kebajikan, perlindungan dan khidmat guaman.
Nancy berkata, matlamatnya adalah untuk mendekati individu yang mungkin tidak menyedari bahawa mereka memerlukan bantuan.
Berdasarkan data kementeriannya, panggilan ke Talian Kasih 15999 merangkumi pelbagai isu — keganasan rumah tangga dan pertikaian keluarga, penderaan kanak-kanak dan pengabaian emosi, warga emas yang ditinggalkan dan kesunyian, tekanan kewangan serta pertanyaan mengenai bantuan kebajikan, selain masalah kemurungan dan tekanan emosi.
“Kadangkala orang rasa tiada siapa yang peduli, atau mereka berseorangan. Tetapi apabila seseorang bertanya ‘Awak OK tak?’, ia mengingatkan mereka bahawa bantuan sentiasa ada,” katanya.
Kempen itu menawarkan bantuan melalui inisiatif berasaskan komuniti seperti Skuad WAJA, bertujuan membantu wanita yang menghadapi tekanan domestik atau kewangan.
KasihNita, membantu ibu tunggal kurang berkemampuan mendapatkan bantuan guaman bagi tuntutan nafkah anak; serta Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), yang menawarkan khidmat bimbingan dan kaunseling psikologi di premis tetap dan melalui PSSS bergerak.
Menghapuskan stigma
Seperti kebanyakan inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini, Nancy mengakui bahawa stigma masih lagi menjadi halangan utama.
“Kadangkala, orang tidak mahu dilihat seolah-olah mereka mempunyai masalah. Sebab itulah kita gunakan kempen ini — untuk menunjukkan bahawa anda tidak bersendirian, dan perkhidmatan kami adalah profesional dan maklumat anda dilindungi,” katanya.
Melalui pendekatan ‘komuniti menyeluruh’, kempen ‘Awak OK Tak?’ menggalakkan rakyat Malaysia supaya saling mengambil berat terhadap keluarga, rakan, malah jiran tetangga.
“Kita mahu membentuk masyarakat penyayang, yang peka apabila seseorang kelihatan murung dan bertanya, ‘Awak OK tak?’,” katanya.
Nancy berkata, panggilan ke Talian Kasih meningkat kepada 59,065 pada 2024 — berbanding 52,801 tahun sebelumnya — dengan hampir 10,000 panggilan dirujuk kepada kaunselor untuk sesi kaunseling.
Beliau menegaskan bahawa peningkatan ini bukan petanda negatif, sebaliknya menunjukkan lebih ramai orang tampil mendapatkan bantuan berbanding terus berdiam diri.
“Peningkatan ini tidak bermakna lebih banyak masalah. Ia menunjukkan orang mula menggunakan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Bagi KPWKM, ini membuktikan bahawa mesej kempen itu semakin berkesan: rakyat Malaysia mula mencari bantuan lebih awal, sebelum masalah kecil menjadi lebih besar.
“Ada kalanya orang yang anda tanya itu sebenarnya sedang menunggu seseorang untuk ambil berat. Kami mahu ‘Awak OK tak?’ menjadi pertanyaan biasa — yang menyatukan kita,” katanya.
Dengan menggalakkan empati dan intervensi awal, Malaysia kini mengambil langkah penting ke arah masa depan di mana penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi bermula bukan dengan krisis, tetapi dengan perbualan.