
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan, dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox bulan depan.
“Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan.
“Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya selepas menghadiri Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini.
Beliau mengulas kejadian seorang kanak-kanak lelaki enam tahun yang parah dikelar abangnya berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainnya terganggu dan semua ‘point’ dikumpulnya hilang.
Sementara itu, kerajaan Australia sedang meneliti sekatan penggunaan Roblox bagi pengguna 16 tahun ke bawah atas kebimbangan platform itu boleh memberi pengaruh negatif serta dikaitkan beberapa insiden yang mencetuskan perhatian masyarakat antarabangsa.
Menurut Nancy, pelaksanaan dasar di Australia akan dipantau terlebih dahulu sebelum Putrajaya membuat sebarang keputusan rasmi mengenai aplikasi itu.
“Memang benar, perkembangan teknologi seperti ini ada pengaruhnya terhadap kes yang berlaku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada negara lain sebelum membuat keputusan.”