
Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata suspek ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 30, Kimanis, Beaufort, Sabah.
Katanya, lelaki berusia 27 tahun yang disahkan positif dadah methamphetamine itu ditahan pada 2.30 pagi oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
“Anggota polis berjaya mengesan dan menangkap suspek selepas tiga hari dia melarikan diri. Suspek kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah methamphetamine,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tergamak memukul anaknya dalam kejadian di Beaufort kerana tidak tahan mendengar bunyi tangisan.
Dalam kejadian 3 petang Rabu lalu di Kampung Membakut Jaya, suspek dilaporkan turut menampar isterinya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya memarahi anak lelaki mereka.
Suspek turut mengugut membunuh isterinya yang berusia 23 tahun dengan menggantungnya.