
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu turut meminta Menteri Luar, Hishammuddin Hussein yang menganggotai Jemaah Menteri untuk mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) patuh kepada titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja Melayu.
Beliau berkata demikian susulan artikel Hishammuddin bertajuk “Melangkaui politik dan pandemik” yang menyeru sesetengah individu tidak menjadikan isu Parlimen bersidang semula sebagai alat pemuas nafsu politik.
“Bagaimana dengan mereka yang menggantung Parlimen tanpa sebab kukuh dan kini terbukti gagal? Apakah itu bukan memuaskan nafsu politik mereka?
“Semoga Hishammuddin desak dalam Jemaah Kabinet supaya kerajaan PN patuh kepada titah Agong dan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya dalam catatan di Facebook.
Semalam, Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Sultan Abdullah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.
Pendirian Agong itu turut mendapat sokongan Raja-raja Melayu dalam mesyuarat khas dengan baginda petang semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka segera susulan titah Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.
“Penangguhan sidang Dewan Rakyat dan DUN yang berpanjangan serta berterusan hanya akan memberikan ‘blank cheque’ kepada kerajaan PN melakukan apa sahaja yang mereka mahukan tanpa semak imbang dalam Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menggesa semua Ahli Parlimen dan ADUN secara kolektif menuntut darurat ditamatkan.