
Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, berkata kenyataan Puad yang mahu bekas ahli Bersatu kembali menyertai Umno ibarat individu merayu untuk kembali rujuk selepas ‘perceraian’ politik.
“Dia (Puad) macam gila talak. Dia nak suruh kita balik (ke Umno) tapi kita dah bercerai, dia minta kita balik dekat dia pula. Nama dia orang gila talak. Kan kita dah bercerai. Dia merayu untuk kita balik ini kenapa?” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Puad berharap kemelut dalaman Bersatu berakhir dengan pembubaran parti itu, sekali gus membuka jalan kepada ahlinya kembali ke pangkuan Umno.
Menurutnya, Bersatu sejak awal penubuhan tidak pernah stabil dan sentiasa bergolak kerana perebutan kuasa, malah bekas pengerusinya sendiri, Dr Mahathir Mohamad, disingkirkan.
Ketegangan di dalam Bersatu semakin memuncak, susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Rafiq menegaskan, Bersatu tidak akan kembali kepada Umno walau apa jua kemelut yang dihadapi, malah akan terus memperkukuh kekuatan jenteranya dalam menghadapi PRU16.
“Memang takkan berpatah balik… kita fokus mengukuhkan parti, kembalikan kekuatan parti.”
Rafiq yang pernah memegang jawatan AJK Pemuda dan ketua cawangan Umno di bawah Bahagian Sungai Buloh sebelum menyertai Bersatu pada 2016, berkata sejarah Umno sendiri menyaksikan ramai tokoh besar pernah dipecat dan tidak kembali.
“Umno pun pecat Anwar Ibrahim, Umno pun pernah pecat Muhyiddin – mereka ketika itu timbalan presiden, timbalan perdana menteri. ‘Nobody above the party’,” katanya.
Mengulas tindakan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal yang semakin kerap mengkritik Bersatu selepas dipecat, Rafiq berkata parti tidak memberi perhatian kepada kenyataan bekas ahli.
“Dia bukan lagi ahli parti. Bila jadi ahli MPT, kita angkat sumpah taat setia dan kerahsiaan. Bila kena pecat, bongkar habis. Itu langgar sumpah,” katanya.
Beliau juga menjangkakan langkah politik kedua-dua pemimpin itu akan semakin kelam susulan tindakan mereka yang gagal menjaga kerahsiaan parti.
“Parti mana hendak ambil orang macam itu?” katanya, sambil memuji sikap bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang menurutnya berdiam diri selepas digantung atau dipecat.
“Jadilah seperti Khairy, Shahril. Walaupun dipecat, digantung, tenang saja… tak ada pula ‘melalak’ dekat media hari-hari.”