Saya akan cari, saman orang beria malukan saya, kata Tajuddin

Saya akan cari, saman orang beria malukan saya, kata Tajuddin

Bekas pengerusi bukan eksekutif Prasarana itu berkata, ada pihak menggambarkan dirinya seolah-olah tidak prihatin, tidak sensitif dan rasis.

Bekas pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman mendakwa cubaan menjatuhkan imejnya itu adalah mainan portal yang suka menimbulkan kontroversi.
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman akan mencari dan menyaman pihak yang membuat penghinaan dan memalukannya.

Beliau berkata, ada pihak yang menggambarkan dirinya seolah-olah tidak prihatin, tidak sensitif dan rasis kerana mempersoalkan wartawan bukan warganegara.

“Saya akan mengenal pasti siapa yang beria-ia hingga saya dimalukan seluruh negara, (dakwaan saya) seorang pengerusi yang tidak layak jadi pengerusi, seorang tokoh yang rasis, tidak sensitif dan tidak ikut SOP.

“Ini penghinaan terhadap saya dan saya akan ambil tindakan mengikut undang-undang,” kata beliau menurut laporan Berita Harian.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa cubaan menjatuhkan imejnya itu adalah mainan portal yang suka menimbulkan kontroversi sehingga orang ramai mempercayainya tanpa usul periksa.

“Di mana yang dikatakan tidak prihatin dan tidak sensitif dengan kejadian itu? Adakah disebabkan sebut ini berlaku dua tren bercium itu diambil bahan saya tidak sensitif?

“Mula-mula video saya cakap kita sedih dengan apa yang berlaku. Saya juga kata sudah bincang dengan pengurusan, kita akan bantu mangsa, bantu kos mangsa yang masuk hospital dan bantuan khas RM1,000.”

Sebelum ini, Tajuddin dikritik pelbagai pihak kerana memakai pelindung muka tanpa pelitup muka serta kenyataan tidak sensitif beliau dalam sidang media 25 Mei lalu berhubung pertembungan dua tren LRT.

Satu petisyen dalam talian menggesa beliau meletak jawatan dilancarkan selepas itu kerana ramai yang menyifatkan sidang media berkenaan sebagai “bencana” perhubungan awam.

Beliau dipecat daripada jawatan pengerusi bukan eksekutif Prasarana keesokannya.

Sementara itu, Tajuddin berkata, beliau tidak terkesan atau berdendam dengan pelucutan jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif Prasarana.

“Kenapa mahu dendam? Pegangan saya berani kerana benar. Dalam politik, saya sudah melalui pelbagai pahit getir, termasuk pernah dipecat dari Umno pada 1995.

“(Saya) tidak terkesan dan tiada salah. Masa akan menentukannya dan kebenaran akan terserlah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.