
Memetik Bernama, Ismail juga berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan semua kakitangannya dan keluarga mereka menerima suntikan vaksin dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, ia berikutan keadaan jalan di kawasan pedalaman yang kurang baik, manakala pihak Angkatan Tentera Malaysia mempunyai kelengkapan kenderaan yang boleh melalui jalan itu.
“Kalau boleh kita tidak mahu bawa masyarakat pedalaman keluar ke bandar, tetapi kita masuk ke dalam sampai ke perkampungan mereka.
“Sesetengah tempat di pedalaman mungkin tidak ada akses (ke dalamnya)…jadi kita bawa jururawat, doktor dan sebagainya ke kampung mereka untuk vaksin.
“Kalau tidak ada akses langsung, kita akan bawa juga melalui helikopter, kita buka khemah di perkampungan mereka dan bagi suntikan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang turut hadir di situ berkata, kerajaan telah memberi komitmen untuk meluaskan PPV sedia ada kepada kaedah pandu lalu yang memakan kos lebih murah, teratur dan mudah.
Katanya, negara kini dalam fasa kedua pemberian vaksin dengan stok vaksin sebanyak 7 juta dos pada Jun dan 14 juta pada Julai.
“Untuk fasa kedua kita pelbagaikan PPV selain daripada yang berada di klinik kesihatan, hospital atau dewan atau pusat perniagaan.
“Kita hendak luaskan lagi pemberian vaksin melalui kaedah pandu lalu seperti yang dikendalikan oleh ATM hari ini dan semalam,” katanya.