Kes Ismail: Tuduh atau tidak terpulang peguam negara

Kes Ismail: Tuduh atau tidak terpulang peguam negara

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya menunggu keputusan peguam negara.

Ismail Sabri Yaakob
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan wang tunai dikaitkan dengan Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya Anuar Yunus dilucut hak kepada kerajaan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu keputusan peguam negara sama ada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob akan diteruskan atau tidak.

“Saya hanya menunggu daripada peguam negara sama ada kes dia nak diteruskan untuk menuduh atau tidak. Itu sahaja, terpulang pada beliau.

“Tetapi berkenan pemulihan aset, kami telah lakukannya. Semua aset telah dipulihkan,” kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki ketika ditemui dalam majlis sambutan ulang tahun SPRM ke-58 dan pelancaran Keep Malaysia Clean (KMC).

Beliau mengulas tindakan selanjutnya selepas wang tunai berjumlah RM169 juta dikaitkan dengan Ismail dan bekas setiausaha politiknya Anuar Yunus dilucut hak kepada kerajaan.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan wang tunai itu dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan SPRM yang tidak dibantah Ismail dan Anuar.

Beliau juga berkata, tiada pihak ketiga tampil menuntut wang berkenaan, walaupun notis awam dikeluarkan bulan lalu.

SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan itu pada 7 Julai, selepas siasatan mendapati dana dipegang oleh Anuar mempunyai kaitan dengan Ismail serta berkaitan satu kesalahan bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM.

Ia termasuk wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, USD1,461,400, CHF3 juta, €12,164,150, 363,000,000 yen, £50,250, NZD44,600, AUD352,850 dan AED34,750,000 (emirati dirham).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.