
Ramli dijadualkan menyertai Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa hari ini, tetapi diberitahu petang semalam, acara itu dibatalkan atas arahan pusat Islam universiti berkenaan.
Menurut pihak penganjur, program itu terpaksa dibatalkan atas “sebab-sebab tertentu” dan memohon maaf, namun tidak menghurai lebih lanjut.
Ketika dihubungi, Ramli berkata, meskipun terkilan dengan keputusan itu, dia tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama dirinya menanggung layanan sedemikian.
Bagaimanapun, beliau bimbang “beberapa pusat Islam di universiti tempatan menapis dasar kebudayaan institusi berkenaan” secara keterlaluan.
Ramli berkata, pembatalan itu menzahirkan “fenomena” yang membayangi kerjayanya selama berkecimpung dalam tarian klasikal lebih 20 tahun.
“Kontroversi seorang Melayu mempersembahkan tarian (klasikal) Hindu sudah wujud sekian lama,” kata Ramli.
Menurut Ramli, beliau bersetuju menyertai wacana di universiti itu kerana mahu mendedahkan pelajar Melayu kepada kebudayaan inklusif memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
FMT tidak menamakan universiti berkenaan kerana mahu mendapatkan respons daripada mereka terlebih dahulu.