Letupan di Universiti HELP: 2 masih dirawat, 2 dibenar pulang

Letupan di Universiti HELP: 2 masih dirawat, 2 dibenar pulang

Enam individu lain yang tercedera dalam insiden tersebut juga dibenarkan keluar dari hospital.

letupan help university
Seorang dilaporkan meninggal dunia dan sembilan cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di Universiti HELP. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Dua pelajar Universiti HELP yang cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di kampus universiti di Bukit Damansara, Isnin lepas masih menerima rawatan di hospital, manakala dua lagi dibenarkan pulang.

Universiti HELP memaklumkan enam individu lain yang tercedera dalam insiden tersebut juga dibenarkan keluar dari hospital.

“Pihak universiti kekal berhubung rapat secara berkala dengan pelajar, kakitangan serta keluarga yang terlibat dan akan terus memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan mereka,” menurut kenyataan.

Universiti HELP turut menyambut baik seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar siasatan pantas dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden tersebut.

Universiti itu menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik bangunan serta syarikat pengurusan bangunan bagi mengenal pasti fakta kejadian dan memastikan semua protokol keselamatan disemak dengan sewajarnya.

“Kami menghargai sokongan serta keprihatinan yang ditunjukkan terhadap semua pihak yang terlibat dan berterima kasih kepada pelajar, ahli keluarga serta rakan sekerja di dalam dan luar negara yang menghulurkan sokongan serta kata-kata semangat kepada keluarga empat orang pelajar yang cedera dalam insiden tersebut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Isnin lepas, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus kejuruteraan mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.