
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mata pelajaran umum yang dirombak semula itu akan diajar dalam bahasa Melayu.
“Mulai tahun ini, kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang telah dirombak semula dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh universiti awam dan swasta bagi pelajar Malaysia, iaitu isu perlembagaan, isu sejarah Malaysia, itu dimasukkan dalam kurikulum.
“Biar semua anak kita menguasai pengetahuan asas tentang perlembagaan dan sejarah dan ini dalam mata pelajaran umum,” katanya dalam ucapan sempena peluncuran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Anwar menambah adalah tidak munasabah sekiranya rakyat Malaysia tidak memahami perlembagaan dan tidak mengerti sejarah negara.
Dalam pada itu, perdana menteri mengumumkan syarikat kerajaan akan bekerjasama dengan universiti untuk membangunkan kawasan bagi kemudahan penginapan pelajar.
“Saya telah mengadakan rundingan awal dan mudah-mudahan pada tahun ini kita mulakan dengan universiti-universiti tertentu dengan target menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan,” katanya.