
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata turut ditahan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket mencuri elektrik untuk kegiatan itu.
Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) negeri pada kira-kira 6 petang di sebuah premis di Bandar Dataran Segar Lukut dan dua premis di sekitar Lukut Prima.
“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki yang ditahan di premis pertama itu mendapati mereka positif dadah jenis syabu.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi itu turut dikompaun kerana merentas daerah tanpa alasan munasabah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam kenyataan.
Aidi Sham berkata, TNB negeri mengalami kerugian kira-kira RM40,000 sebulan ekoran kegiatan mencuri elektrik untuk melombong bitcoin di tiga premis terbabit sejak tiga bulan lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram, katanya.