Kastam rampas dadah RM6.65 juta dalam 3 serbuan

Kastam rampas dadah RM6.65 juta dalam 3 serbuan

Sindiket pengedaran dadah itu dikesan menggunakan modus operandi termasuk mencampur dadah dengan dagangan sah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) Siti Mang berkata semua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah seberat 40.778 kg bernilai kira-kira RM6.65 juta selepas menggagalkan tiga cubaan sindiket pengedaran dadah melakukan kegiatan mereka di Selangor, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Siti Mang, berkata rampasan itu dibuat dalam tiga kes berasingan, hasil risikan dan tindakan pantas pasukannya.

Katanya, kes pertama adalah pada 12 Sept lalu apabila pihaknya mendapat maklumat daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sebelum memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Kita kemudiannya menemukan serbuk putih mampat disyaki kokain seberat 25,740 gram bernilai RM5.15 juta.

“Kontena itu didaftarkan sebagai alat pemeriksaan tekanan darah dan dalam proses pemindahan penghantaran ke Australia.

“Sindiket dipercayai menggunakan mod operasi mencampur dadah dengan dagangan sah untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata kes kedua pula membabitkan satu serbuan di Banting apabila pihaknya menemukan sebuah Toyota Camry yang ditinggalkan di tepi jalan kawasan perumahan pada 11 Sept.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 367 gram MDMA bernilai RM61,289 bersama dua pucuk senjata api, kelopak peluru dan peluru hidup.

“Dadah tersebut disorokkan di dalam kompartmen kenderaan yang diubah suai, dipercayai untuk diedarkan kepada pasaran tempatan,” katanya.

Katanya, mereka turut melakukan satu lagi serbuan di sebuah gudang syarikat kurier di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) dan menemukan 14,671 gram kanabis bernilai RM1.44 juta.

“Dadah berkenaan disembunyikan dalam tiga kotak parcel berlabel jenama serbuk kopi. Modus operandi mereka ialah kononnya ia untuk dihantar sebagai kopi eksport melalui perkhidmatan kurier udara,” katanya.

Tambahnya, semua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.