Jangan diskriminasi kilang arak, kata kumpulan perniagaan

Jangan diskriminasi kilang arak, kata kumpulan perniagaan

Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia berkata, pengeluar arak menyumbang RM2.2 bilion duti dan rantaian bekalan industri itu mengekalkan 60,000 pekerjaan.

Pengarah eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata minuman beralkohol perlu dikategori bersama minuman bergula dan kafein yang lain. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Tidak sepatutnya wujud diskriminasi oleh pihak berwajib ketika memutuskan sektor mana yang perlu dibenar beroperasi sepanjang penutupan penuh, kata Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI).

Pengarah eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata, meski dewan itu membenarkan pengambilan minuman beralkohol dan gula tinggi secara bertanggungjawab, tidak sepatutnya wujud “diskriminasi dari segi definisi mahupun sentimen”.

Beliau berkata demikian sehari selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kilang arak perlu ditutup, walau sebelum itu mereka dibenar meneruskan operasi.

“Penutupan penuh dan pandemik yang berlarutan telah memberi kesan kepada sebahagian besar rakyat,” kata Cheah.

“Bukankah sepatutnya (minuman beralkohol) turut dikategorikan sebagai keperluan yang strategik walau sudah dikelaskan sebagai minuman perlu “bersama dengan minuman bergula dan kafein lain (seperti minuman ringan dalam botol),” katanya, sambil menambah kerajaan mengenakan cukai gula kerana menyedari risiko kesihatan pengambilan gula berlebihan.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini mengesahkan kilang arak dibenarkan beroperasi kerana berada di bawah sektor minuman yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

Bagaimanapun, Ismail berkata MKN telah memutuskan bahawa kilang arak perlu ditutup.

Katanya, walaun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang mengeluarkan makanan dan minuman semasa sekatan penuh, kelulusan ini hanya untuk kilang-kilang yang mengeluarkan barang keperluan – dan kilang arak tidak termasuk dalam senarai.

Cheah menegaskan, kilang arak beroperasi dengan tenaga kerja yang minimum kerana mereka sangat automatik, berbanding kebanyakan kilang lain yang sangat bergantung kepada tenaga kerja.

Beliau berkata sumber dana yang “sangat diperlukan” kerajaan untuk program Pemerkasa Plus yang baharu diumumkan dan pelbagai pakej bantuan lain datang dari kegiatan ekonomi industri Malaysia, sambil menambah bahawa pengeluar arak Malaysia menyumbang sebanyak RM2.2 bilion duti.

Katanya, rantaian bekalan industri berkenaan turut mengekalkan 60,000 pekerjaan.

Menyedari industri semikonduktor pada mulanya tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, Cheah berkata MKN meletakkan sektor ini dalam senarai kerana “pentingnya sumbangan ekonomi industri kepada perbendaharaan negara dan kedudukannya dalam rantaian bekalan dunia”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.