Fomca gesa kerajaan kaji semula subsidi gula demi tangani krisis diabetes

Fomca gesa kerajaan kaji semula subsidi gula demi tangani krisis diabetes

Ketua Pegawai Eksekutifnya T Saravanan berkata ia boleh dilakukan secara berperingkat bagi membolehkan pengguna dan industri menyesuaikan diri tanpa kejutan harga mendadak.

air bergas soda
MMA sebelum ini meminta kerajaan menguatkuasakan pengurangan berperingkat 20–30% kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman berproses, dengan amaran bahawa Malaysia menghadapi krisis diabetes. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan menilai semula subsidi gula yang menurutnya tidak lagi selari dengan keperluan kesihatan awam ketika negara berdepan peningkatan kes diabetes.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, T Saravanan, berkata pengurangan subsidi secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun adalah lebih sesuai bagi memberi masa kepada pengguna dan industri menyesuaikan diri tanpa berdepan kejutan harga mendadak.

“Pendekatan berperingkat ini juga boleh mengurangkan kejutan harga dan mengelakkan kesan ekonomi mendadak kepada golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa yang sama, hasil penjimatan subsidi boleh disalurkan kepada program kesihatan awam, pendidikan pemakanan, serta insentif kepada pengeluar yang berjaya menghasilkan produk lebih sihat,” katanya kepada FMT.

Saravanan berkata demikian mengulas seruan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya kerajaan menguatkuasakan pengurangan berperingkat 20–30% kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman berproses, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dengan amaran bahawa Malaysia menghadapi krisis diabetes.

Presiden MMA Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata sasaran itu mampu dicapai dan selaras amalan global, serta perlu disokong oleh pengembangan cukai gula dan pelabelan pemakanan yang jelas pada bahagian depan bungkusan.

Seruan itu menyusuli laporan media yang menyatakan Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara bagi prevalens diabetes, dengan 21% rakyat atau seorang daripada lima orang dewasa hidup dengan penyakit tersebut.

Thirunavukarasu turut menarik perhatian kepada Tinjauan Kebangsaan Morbiditi dan Kesihatan 2023 bahawa 15.6% orang dewasa menghidap diabetes dan lebih separuh mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Dalam pada itu, Saravanan berkata ketika ini sebahagian pengeluar sudah pun memperkenalkan produk rendah gula kerana permintaan pengguna semakin berubah dan dasar kerajaan yang lebih tegas hanya akan mempercepatkan transformasi industri.

“Namun pengurangan kandungan gula tidak semestinya membawa kepada penurunan harga. Dalam banyak keadaan, kos pengeluar mungkin meningkat pada peringkat awal kerana mereka perlu menukar formulasi, menggunakan bahan alternatif atau menjalankan ujian produk yang memerlukan pelaburan tambahan.

“Malah, bahan pengganti atau perisa semula jadi sering kali lebih mahal daripada gula itu sendiri. Oleh itu, adalah tidak realistik untuk mengandaikan harga akan turun semata-mata kerana gula dikurangkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) J. Govindasamy @ Suresh menyokong saranan MMA dengan menegaskan pelabelan kandungan gula dan kalori dapat memberi kuasa kepada pengguna membuat pilihan lebih sihat serta menggalakkan restoran menambah baik resepi mereka.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang jelas dan sokongan kepada pengusaha bagi memastikan usaha itu memberi manfaat kepada kesihatan awam dan juga industri makanan.

“Laksanakan secara berperingkat dan praktikal bermula dengan pelabelan secara sukarela serta garis panduan yang jelas. Latihan dan sokongan kepada pengusaha kecil serta kerjasama dengan persatuan seperti Primas, akan memastikan pelaksanaan berjalan lancar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.