
Bio Eneco adalah anak syarikat milik penuh Elridge Energy Holdings Bhd yang memberi tumpuan kepada pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, khususnya menggunakan sisa industri tempurung isirung sawit (PKS).
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Yeo Hock Cheong, berkata pemilihan lokasi kilang itu dibuat berikutan kedudukannya yang hampir dengan pelabuhan sekali gus membolehkan kecekapan logistik, pengendalian eksport yang teratur selain penghantaran berskala besar secara konsisten.
“Gebeng merupakan lokasi kilang ketiga selepas di Telok Gong dan Kapar di Klang, Selangor dan kami akan membuka kilang seterusnya di Pasir Gudang, Johor yang dijangka beroperasi pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian kilang itu yang disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Mohd Soffi Abd Razak, Pengerusi Elridge Energy Azmil Khalili Khalid dan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek.
Yeo berkata, kilang yang mula beroperasi tahun lalu dibangunkan berlandaskan prinsip yang jelas iaitu kualiti tanpa kompromi dan pelaksanaan yang berdisiplin.
Sementara itu, Elridge Energy dalam kenyataan berkata, perkembangan ini merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal syarikat berjumlah RM68.14 juta.
Ia seperti dinyatakan dalam prospektus kumpulan iaitu untuk menubuhkan rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim baharu di seluruh Kuantan, Pasir Gudang, dan Lahad Datu.
“Pelaburan ini menekankan pengagihan hasil tawaran awam permulaan (IPO) yang berdisiplin dan strategik oleh kumpulan bagi meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan dan menyokong pertumbuhan lestari jangka panjang,” kata kenyataan itu.
Kemudahan Gebeng merupakan tonggak utama dalam strategi jangka panjang kumpulan untuk membina platform biojisim berkualiti tinggi yang berorientasikan eksport selaras dengan peralihan tenaga global yang semakin berkembang pesat.
Direka untuk menghasilkan PKS gred eksport, kemudahan ini disahkan bawah Green Gold Label (GGL) yang diiktiraf antarabangsa.
Ia mencerminkan komitmen Elridge Energy terhadap piawaian kelestarian ketat, kebolehkesanan rantaian bekalan sepenuhnya dan integriti data karbon yang kukuh dari sumber hingga ke pasaran akhir.