Restoran mamak disaran laksana ‘hari tanpa gula tambahan’

Restoran mamak disaran laksana ‘hari tanpa gula tambahan’

Inisiatif itu sebagai kempen kesedaran kepada pelanggan sekali gus mengurangkan risiko Malaysia kepada krisis diabetes.

air bergas soda
Cadangan ‘hari tanpa gula tambahan’ adalah sokongan kepada gesaan Persatuan Perubatan Malaysia mengenai keperluan mengurangkan pengambilan gula tambahan dalam kalangan rakyat. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mencadangkan restoran bawah kendaliannya melaksanakan inisiatif ‘hari tanpa gula tambahan’ dalam usaha menangani krisis diabetes.

Cadangan itu juga tanda sokongan kepada gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai keperluan mengurangkan pengambilan gula tambahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mohammed Mosin Abdul Razak
Mohammed Mosin Abdul Razak.

Presiden Presma, Mohammed Mosin Abdul Razak, berkata inisiatif itu sebagai kempen kesedaran kepada pelanggan bersama agensi kerajaan, sekali gus mengurangkan risiko Malaysia kepada krisis diabetes.

“Kami komited memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menangani isu diabetes yang semakin membimbangkan.

“Presma juga akan mengesyorkan kepada ahli-ahli supaya mengurangkan jumlah gula dalam minuman secara berperingkat. Menawarkan pilihan minuman kurang gula, tanpa gula di restoran India Muslim.

“Langkah ini boleh dilaksanakan secara sukarela namun terancang agar tidak menjejaskan operasi restoran,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, MMA menyeru kerajaan menguatkuasakan pengurangan berperingkat 20–30% kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman terproses bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dengan amaran Malaysia menghadapi krisis diabetes.

Presidennya, Dr Thirunavukarasu Rajoo, berkata sasaran itu mampu dicapai dan selaras amalan global, serta perlu disokong oleh pengembangan cukai gula dan pelabelan pemakanan yang jelas pada bahagian depan bungkusan.

Sementara itu, Mosin berkata Presma sedia bekerjasama dengan kerajaan, agensi kesihatan dan semua pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pengambilan gula berlebihan.

Ditanya sama ada pihaknya sedia menaikkan harga minuman bergula sebagai mekanisme mengurangkan pengambilan oleh pelanggan, Mosin tidak menolak cadangan itu.

Beliau menjelaskan sebarang kenaikan harga perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya beban kos pengguna, persaingan industri dan kesan kepada perniagaan kecil dan sederhana.

“Presma terbuka untuk menggalakkan restoran menyediakan harga lebih murah untuk minuman kurang gula atau tanpa gula sebagai insentif positif kepada pengguna, berbanding menaikkan harga minuman manis.

“Kami juga cadang beberapa langkah tambahan antaranya kempen pendidikan bersama Kementerian Kesihatan di restoran, melaksanakan garis panduan yang mudah diikuti, penyediaan menu sihat, kerjasama dengan pihak industri pembekal menyediakan bekalan lebih sihat tersedia pada harga berpatutan,” katanya.

Pihaknya turut mencadangkan kerajaan mengiktiraf dan memberikan insentif kepada ‘restoran mesra kesihatan’ bagi premis yang komited mengurangkan gula dan mempromosikan pemakanan sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.