Anak maut, ibu parah SUV terhumban bawah jambatan

Anak maut, ibu parah SUV terhumban bawah jambatan

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa V Yuvabarathi, 24, yang duduk di bahagian penumpang belakang SUV berkenaan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Keadaan SUV yang terhumban bawah jambatan di Kilometer 313.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Tapah, Perak semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut, manakala ibunya parah selepas SUV yang turut dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjatuh ke bawah jambatan di Kilometer 313.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Tapah, Perak semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa V Yuvabarathi, 24, yang duduk di bahagian penumpang belakang SUV berkenaan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Manakala bapanya V Kunalan, 59, yang memandu kenderaan itu cedera di bahagian dada dan ibunya, M Nirmala Devi, 56, yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami cedera parah, menurut laporan Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kedah.

Beliau berkata, SUV berkenaan hilang kawalan sejurus tiba di laluan berkenaan dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan sebelum terhumban ke bawah jambatan.

“Akibatnya, bapa mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian dada dan ibunya yang parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

“Anaknya yang tinggal bersama ibu bapanya di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pula disahkan meninggal dunia 3.35 petang ketika mendapat rawatan di HRPB,” katanya.

Azharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.